AGENDA

Tanah runtuh: Bunyi siren elak ramai jadi mangsa, lari tempat selamat

11 Mac 2022, 6:17 AM
Tanah runtuh: Bunyi siren elak ramai jadi mangsa, lari tempat selamat

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Bunyi siren yang kuat memberi amaran kepada komuniti penduduk setempat bagi menyelamatkan diri ke tempat yang lebih selamat, berjaya mengelakkan lebih ramai mangsa dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang di sini, semalam.

Seorang pekerja swasta dalam sektor perbankan Natasha Alya Saifudin, 26, berkata beliau seakan tidak percaya kawasan perumahan yang didiami selama 20 tahun itu buat pertama kali terlibat dalam kejadian tanah runtuh pada kira-kira 5 petang semalam.

"Bunyi siren memang kuat. Tiba-tiba, terdengar dentuman dua kali runtuhan tanah yang kuat semasa hujan gerimis.

 "Panik dan kelam kabut, saya terus berlari keluar dari rumah untuk tengok apa yang berlaku rupanya tanah memang sudah makin menurun," katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian hari ini.

Menceritakan kembali detik cemas itu, Natasha Alya yang ketika itu berada berseorangan di rumah kerana bekerja dari rumah (BDR) terus menelefon bapanya yang berkhidmat sebagai pemandu kereta e-hailing untuk segera pulang ke rumah.

Menurutnya, kejadian yang berlaku sekelip mata tanpa sebarang tanda, sangat mengejutkan penduduk setempat kerana sebelum ini kawasan perumahannya tidak pernah terlibat dalam bencana alam mahupun banjir.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Tong Kwan Chew, 53, berkata beliau hanya menyedari kejadian selepas mendengar bunyi siren yang kuat daripada rumah putih bernombor '50', bertentangan dengan rumahnya.

"Saya memang sangat terkejut sebab tidak pernah dengar bunyi (siren) macam itu sebelum ini. Bila sudah keluar, jalan raya depan rumah memang sudah diselaputi lumpur.

"Saya terus membawa isteri dan tiga orang anak ke tempat yang selamat serta mengubah kedudukan tiga kereta di (kawasan taman bersebelahan)," katanya yang terpaksa bermalam di sebuah hotel bersama ahli keluarga kerana akur dengan arahan pihak berkuasa sebagai langkah berwaspada dan faktor keselamatan.

Tong berkata beliau bersyukur kejadian tanah runtuh itu tidak mengancam keselamatan keluarganya yang merupakan kejadian pertama kali semenjak 23 tahun menghuni di situ.

Sementara itu, seorang wanita yang enggan dikenali berusia 50-an, telah menetap selama 20 tahun di kawasan tersebut turut bersyukur dirinya selamat dalam bencana itu.

"Semasa kejadian, ramai (penduduk) yang tidak berada di rumah sebab masih lagi waktu bekerja. Tetapi sebaik terdengar bunyi siren, memang saya terus keluar dari rumah untuk tengok keadaan sekeliling," katanya.

Beliau berkata sebaik keluar dari rumah, tanah runtuh memang sudah merebak sehingga ke bawah dan jalan rumahnya sudah dipenuhi lumpur.

Insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang dekat sini petang semalam telah meragut empat nyawa manakala seorang cedera ringan selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619