AGENDA

PM: Malaysia beralih ke fasa endemik, sempadan negara dibuka semula 1 April

8 Mac 2022, 10:01 AM
PM: Malaysia beralih ke fasa endemik, sempadan negara dibuka semula 1 April

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan bahawa negara akan memasuki fasa 'peralihan ke endemik’ dan pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April ini.

Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor, melakukan penilaian risiko, mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan (KKM) serta meneliti syor daripada Menteri Kuartet.

"Penting untuk saya maklumkan, fasa ‘peralihan ke endemik’ ini adalah strategi keluar untuk membolehkan kita semua kembali semula kepada kehidupan yang hampir normal selepas hampir dua tahun berperang dengan COVID-19," katanya dalam sidang media khas di bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Fasa peralihan itu, katanya adalah fasa sementara sebelum negara beralih ke fasa endemik yang tertakluk kepada pengumuman yang hanya boleh dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Malaysia menutup sempadan negara kepada pelancong dan pelawat asing sejak Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa pada 18 Mac 2020 untuk mengekang penularan COVID-19 dalam negara.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata bermula 1 April beberapa prosedur operasi standard (SOP) telah digariskan seperti berikut:

i. Pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam masih wajib dipatuhi oleh setiap individu.

ii. Had waktu beroperasi bagi premis perniagaan dimansuhkan.

“Pemilik premis dibolehkan melaksanakan waktu operasi premis masing-masing mengikut syarat lesen operasi premis.

“Ini bermakna anda semua bolehlah makan di kedai makan selepas jam 12 tengah malam, terutamanya dengan bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi. Bolehlah bersahur di luar,” katanya.

iii. Pendaftaran kemasukan menggunakan MySejahtera masih diwajibkan dan hanya dikecualikan untuk kawasan terbuka, tidak sesak dan tiada perhimpunan orang ramai.

Namun katanya, MYSJTrace diwajibkan untuk tempat tertutup yang dipenuhi tetamu dan pengunjung.

iv. Aktiviti solat Jemaah di masjid serta surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal. Bagaimanapun, pelaksanaan dan SOP akhir untuk masjid/surau tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa agama negeri dan untuk rumah ibadat selain agam Islam tertakluk kepada Kementerian Perpaduan Malaysia/Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).

v. Keperluan vaksinasi: Had kapasiti pekerja yang sebelum ini bergantung kepada liputan vaksinasi dimansuhkan. Semua individu dibenarkan merentas negeri tanpa mengira status vaksinasi mereka.

Beliau berkata jika sebelum ini terdapat had kapasiti 50 peratus untuk aktiviti yang melibatkan perkumpulan ramai, namun dengan pengumuman terbaharu ini, had tersebut dimansuhkan secara menyeluruh.

“Tiada lagi had kapasiti 50 peratus, namun, penjarakan fizikal sangat penting dan masih digalakkan,” katanya.

Perdana Menteri menzahirkan penghargaan kepada seluruh ahli Keluarga Malaysia yang cekal, tabah, kuat semangat dan berdisiplin dalam mematuhi SOP serta menyokong setiap inisiatif kerajaan dalam memerangi COVID-19.

“Tanpa sumbangan Keluarga Malaysia, negara tidak akan boleh beralih ke fasa ‘peralihan ke endemik’. Saya juga berterima kasih kepada semua Menteri Kuartet Covid-19 yang diketuai Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein atas usaha keras mereka demi memastikan usaha negara untuk ‘Reopening Safely’ (pembukaan semula dengan selamat),” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619