AGENSI

Kuis: Kaedah hibrid laksana program kemahiran sains untuk pelajar B40

4 Mac 2022, 8:41 AM
Kuis: Kaedah hibrid laksana program kemahiran sains untuk pelajar B40

BANGI, 4 MAC: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) menggunakan kaedah hibrid bagi menjayakan program Kemahiran Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) tahun ini dalam memenuhi keperluan pelajar sekolah menengah daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

Ketua program KSTI berkata kaedah pendekatan pengajaran (flipped-classroom) dan berasaskan masalah secara maya sebelum ini dilihat membebankan pelajar kurang berkemampuan yang tiada kemudahan peranti pintar dan internet.

"Kita faham bukan semua pelajar B40 mempunyai telefon bimbit, komputer riba dan akses tersebut walaupun manfaat berkaitan boleh diperoleh dengan mudah melalui dalam talian.

"Jadi, sebahagian pelajar dikenal pasti akan dikumpulkan di Kuis dan berpeluang menimba ilmu secara bersemuka dengan tenaga pengajar," kata Dr Md Rozalafri Johori pada majlis perasmian penutup KSTI 2021 di Dewan Senat Kuis di sini hari ini.

Md Rozalafri yang juga ketua bahagian pemasaran institusi berkenaan yakin langkah tersebut mampu menarik penyertaan lebih ramai pelajar pada program dijangka berlangsung pertengahan tahun ini.

"Sebelum ini, 389 pelajar tingkatan tiga dan lima berjaya menyertai program ini, jadi kita jangka pertambahan pelajar melalui dengan sasaran pelajar tingkatan dua dan empat pula.

"Bagaimanapun, pelajar tingkatan tiga dan lima masih boleh menyertainya kerana sasaran tersebut mengambil kira mereka yang mungkin sibuk dengan persiapan menghadapi Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) serta Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan pihaknya sudah menghantar kertas cadangan kepada Kerajaan Negeri memohon dana tambahan bagi menjayakan program dalam skala lebih besar.

Menurutnya peruntukan berkenaan bagi menampung kos penginapan pelajar, fasiliti dan logistik.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619