AGENDA

Masjid Klang Gate bakal dibuka semula, muat 2,000 jemaah

3 Mac 2022, 8:33 AM
Masjid Klang Gate bakal dibuka semula, muat 2,000 jemaah

SHAH ALAM, 3 MAC: Masjid Klang Gate, Hulu Klang bakal beroperasi semula tidak lama lagi, selepas ditutup lebih tiga tahun untuk projek pembinaan semula sejak Februari 2018.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata pembinaan masjid itu siap sepenuhnya pada 20 Disember lalu dengan kos lebih RM19.5 juta.

"Syukur Alhamdulillah akhirnya masjid ini berjaya disiapkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor dan diserahkan kepada Jais semalam.

"Jais berharap ia dapat memberi keselesaan kepada penduduk setempat untuk menunaikan ibadah, selain menjadi pusat setempat menuntut ilmu, kegiatan ekonomi dan sosio budaya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain ruang solat utama yang mampu memuatkan 2,000 jemaah pada satu-satu masa, masjid ini juga dilengkapi bilik pengurusan jenazah, pejabat pentadbiran, empat unit kuarters bilal dan imam serta tempat letak kenderaan iaitu 50 untuk kereta dan 70 untuk motosikal.

Ia turut dilengkapi kemudahan madrasah dengan enam kelas bagi menempatkan 150 pelajar dan guru serta kemudahan lain seperti rumah sampah, rumah pam dan kolam tadahan.

Pada majlis penyerahan semalam, Mohd Shahzihan turut menerima replika foto masjid itu daripada Pengarah JKR Selangor Ir Lokman Nasir sebagai simbolik penyerahan.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619