AGENDA

Terlalu awal isytihar lepasi kemuncak Omicron meski kadar boleh jangkit turun

28 Feb 2022, 4:12 AM
Terlalu awal isytihar lepasi kemuncak Omicron meski kadar boleh jangkit turun

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 di Malaysia berada pada tahap 1.06 semalam iaitu menurun 0.02 berbanding kadar 1.08 Rt yang dilaporkan, Sabtu lepas.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi ciapan di akaun Twitter berkata walaupun nilainya terus menurun, namun masih terlalu awal untuk menyatakan bahawa Malaysia telah melepasi kemuncak jangkitan Omicron dengan 96 peratus kes aktif Covid-19 pulih di rumah dan kapasiti perkhidmatan hospital kini dalam keadaan terkawal.

“Rt harian kita terus menurun kepada 1.05. Terlalu awal untuk menyatakan kita telah melepasi kemuncak jangkitan Omicron. Sebanyak 96 peratus kes aktif pulih di rumah dan kapasiti hospital adalah terkawal.

“Jika trend ini berterusan, ia akan diikuti dengan pembukaan sepenuhnya sempadan dan kelonggaran langkah-langkah domestik yang lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kemas kini di media sosialnya berkata Perak merekodkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.32, diikuti Labuan (1.27), Sarawak (1.24) dan Terengganu (1.22).

Malaysia merekodkan 24,466 kes baharu Covid-19 semalam, dengan hanya 105 kes dalam kategori tiga, empat dan lima, manakala 24,361 kes kategori satu dan dua.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619