AGENDA

Agong titah peralihan ke fasa endemik perlu dibuat berhati-hati

28 Feb 2022, 4:02 AM
Agong titah peralihan ke fasa endemik perlu dibuat berhati-hati

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Peralihan Malaysia menuju ke fasa endemik Covid-19 perlu dilaksanakan secara berhati-hati, titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Seri Paduka bertitah Malaysia berada di kedudukan ke-13 dari 122 negara dalam indeks pemulihan Covid-19 Nikkei Asia dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan telah berjaya mencapai liputan vaksinasi lengkap sehingga 98 peratus populasi dewasa.

Titah Seri Paduka sebagai langkah pertahanan menghadapai penularan varian baharu, rakyat diseru mendapatkan dos penggalak vaksin Covid-19.

“Bagi memastikan imuniti kekal pada tahap optimum dan sebagai benteng dalam menghadapi varian baharu, beta menyeru agar rakyat beta untuk mendapatkan dos penggalak menerusi program yang sedang dilaksanakan kerajaan.

“Walaupun negara kini semakin bersedia untuk beralih ke fasa endemik, beta berharap agar peralihan ini dilaksanakan secara berhati-hati,” titah Seri Paduka pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat hari ini.

Al-Sultan Abdullah turut menyokong Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan dan tindakan afirmatif kerajaan untuk mengurangkan harga kit ujian kendiri sebagai langkah pengukuhan tindakan kesihatan awam dan pemerkasaan komuniti.

“Melalui pendekatan ini, pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial boleh direalisasikan secara selamat," titah Seri Paduka.

Yang di-Pertuan Agong turut menghargai Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) termasuk strategi pembangunan vaksin sendiri, sebagai usaha meningkatkan kesediaan negara mendepani pandemik dan ancaman wabak lain pada masa hadapan.

Selain itu, Seri Paduka juga menyambut baik Pelan Strategik Kebangsaan Kesihatan Mental 2020-2025, yang dirangka bagi menangani isu kesihatan mental rakyat terutama yang terkesan akibat pandemik Covid-19 melalui pelbagai langkah intervensi dan bantuan.

“Beta menyeru kepada rakyat beta supaya terus memelihara kesihatan termasuklah kesihatan mental dan sentiasa mengamalkan budaya hidup sihat bagi menjayakan matlamat agenda nasional ‘Malaysia Sihat’,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah menyokong aspirasi kerajaan untuk merakyatkan sains dan menginsankan teknologi kerana pembudayaan sains melalui inovasi sosial bakal melahirkan modal insan yang bersifat altruistik dalam menangani isu kemiskinan, kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.

“Beta berharap kerajaan akan terus memperkukuh program penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi dalam bidang keutamaan termasuk kecerdasan buatan, robotik,bio-sains dan angkasa,” titah Yang di-Pertuan Agong.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619