AGENDA

BATC 2022: Agong, Raja Permaisuri ucap tahniah kepada skuad lelaki kebangsaan

21 Feb 2022, 7:41 AM
BATC 2022: Agong, Raja Permaisuri ucap tahniah kepada skuad lelaki kebangsaan

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan tahniah kepada skuad badminton lelaki kebangsaan atas kejayaan menjuarai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022, semalam.

Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara hari ini, Seri Paduka berdua turut menzahirkan sukacita dan bangga atas pencapaian cemerlang itu kerana pasukan badminton negara mencipta sejarah selepas muncul juara kejohanan itu buat kali pertama dengan menewaskan juara bertahan Indonesia 3-0.

"Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan harapan agar kejayaan ini menjadi suntikan semangat kepada pasukan badminton kebangsaan untuk terus berlatih lebih keras dan melakar kejayaan di kejohanan-kejohanan mendatang serta mengharumkan nama negara di persada dunia," demikian menurut catatan itu.

Semalam, skuad lelaki negara mencipta sejarah selepas muncul juara BATC buat kali pertama dengan menewaskan Indonesia, sekali gus menyekat hasrat musuh tradisi tersebut daripada menjuarai gelaran buat kali keempat berturut-turut pada kejohanan yang bermula sejak 2016 itu.

Kejohanan dwitahunan itu juga adalah pentas kelayakan bagi saingan Piala Thomas dan Uber, dengan empat pasukan terbaik layak ke acara berpasukan berkenaan yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand pada Mei depan.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619