AGENDA

Sagu hati batal umrah, jemaah diberi tempoh hingga Mac buka akaun TH

15 Feb 2022, 7:24 AM
Sagu hati batal umrah, jemaah diberi tempoh hingga Mac buka akaun TH

MELAKA, 15 FEB: Jemaah umrah yang akan menerima bayaran sagu hati kerana terpaksa membatalkan ibadah berkenaan susulan penangguhan sementara kebenaran perjalanan umrah, diberi tempoh sehingga Mac ini untuk membuka akaun simpanan Tabung Haji (TH) bagi tujuan tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad berkata tempoh itu dilanjutkan ekoran terdapat lebih 1,000 jemaah terlibat masih belum membuka akaun simpanan berkenaan yang merupakan medium tunggal digunakan untuk pembayaran sagu hati itu.

"Pembayaran sagu hati tersebut akan dibuat pada Jumaat ini (18 Februari) dan kita harapkan jemaah yang akan menerima sagu hati itu akan segera membuka akaun simpanan TH, pembayaran akan dilanjutkan sehingga Mac ini.

"Apa pun (pembayaran) mesti menggunakan akaun TH kerana ia memudahkan dan TH ada di semua tempat termasuk di kampung," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Melaka Tahun 2022 di Masjid Al-Azim di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

Idris berkata beliau juga telah mengarahkan TH memaklumkan pejabat cawangannya di seluruh negara supaya mempermudahkan pembukaan akaun simpanan berkenaan agar proses pembayaran sagu hati berjalan lancar.

Sebelum ini, media melaporkan pembayaran sagu hati sebanyak RM1,671 seorang kepada jemaah umrah yang membatalkan pemergian susulan penangguhan sementara kebenaran perjalanan umrah akan dibuat pada 18 Februari ini.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah menyerahkan senarai 8,027 jemaah umrah yang terkesan serta layak menerima sagu hati tersebut dan daripada jumlah itu, hampir 1,000 jemaah umrah masih belum mempunyai akaun simpanan TH.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619