AGENDA

200 individu dibenar tonton setiap sesi kejohanan badminton Asia

13 Feb 2022, 9:26 AM
200 individu dibenar tonton setiap sesi kejohanan badminton Asia

SHAH ALAM, 13 FEB: Seramai 200 penonton dibenar menyaksikan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 bagi setiap sesi di Pusat Konvensyen Setia City mulai 15 hingga 20 Februari.

Kejohanan selama enam hari berlangsung pada jam 10 pagi dan 4 petang dengan tempahan tiket secara dalam talian, kata pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor.

“Tempahan hanya dibuka sehari sebelum setiap pertandingan bagi mengelak pembaziran tiket dan memberi peluang orang ramai hadir menonton,” kata Mohamad Nizam Marjugi kepada Selangorkini.

Beliau menambah seramai 200 urus setia terlibat sepanjang kejohanan itu dalam aspek keselamatan, gelanggang dan penjagaan tatacara operasi piawai (SOP).

“Mereka ini menjalani saringan Covid-19 setiap hari menggunakan kit kendiri bagi mengelak penularan wabak,” katanya lagi.

Tempahan tiket secara dalam talian dibuka sehari sebelum setiap pertandingan bermula 12 tengah hari hingga 11.59 malam melalui pautan https://selangorbatc2022.com.

Mereka yang berjaya menempah akan menerima tiket elektronik melalui e-mel, yang perlu dibawa bersama kad pengenalan atau nombor pasport sebelum memasuki tempat kejohanan.

Selangor buat julung kali menjadi tuan rumah BATC 2022 yang diselaraskan MSN Selangor dengan kerjasama Badminton Asia dan Persatuan Badminton Malaysia.

Selain Malaysia, negara lain yang turut bertanding ialah Indonesia, India, Korea Selatan, Jepun, Singapura, Hong Kong dan Kazakhstan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619