AGENDA

Kabinet setuju beri subsidi ayam, telur semua kategori sehingga Jun

10 Feb 2022, 3:00 AM
Kabinet setuju beri subsidi ayam, telur semua kategori sehingga Jun

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Kabinet semalam, bersetuju memberikan subsidi 60 sen per kilogram (kg) kepada penternak ayam dengan mengambil kira harga ayam hidup di peringkat ladang sebanyak RM5.90 per kg dan harga runcit ayam bulat standard RM8.90 per kg.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dalam kenyataannya berkata Jemaah Menteri turut bersetuju memberikan subsidi sebanyak 5 sen bagi setiap biji telur semua jenis kategori.

“Tempoh pemberian subsidi adalah mulai 5 Feb hingga 4 Jun depan iaitu sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM),” katanya.

Menurut Ronald, tujuan pemberian subsidi adalah untuk meringankan beban penternak susulan peningkatan kos terutamanya kos makanan yang meliputi 70 peratus daripada kos pengeluaran selain kos logistik, kos pekerja, kos utiliti dan kos ubat-ubatan.

Beliau turut berharap langkah intervensi kerajaan melalui pemberian subsidi kepada penternak dapat menstabilkan kembali bekalan sekali gus memastikan rakyat dapat membeli ayam dan telur dengan harga berpatutan.

Katanya, anggaran keseluruhan implikasi kewangan kepada kerajaan bagi melaksanakan pemberian subsidi ayam dan telur di seluruh negara untuk tempoh empat bulan ini adalah sebanyak RM528.52 juta.

Beliau berkata kementeriannya melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan mengadakan sesi libat urus berterusan dengan pihak industri.

Ini bagi memastikan industri ayam dan telur terus kekal mampan dan beroperasi dalam skala penuh bagi memastikan pengeluaran di ladang mencukupi bagi memenuhi keperluan tempatan, katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619