AGENSI

Tiga syarikat dipilih sertai program pembangunan usahawan

28 Jan 2022, 8:47 AM
Tiga syarikat dipilih sertai program pembangunan usahawan

SUBANG JAYA, 28 JAN: Tiga syarikat di Selangor diterajui belia dipilih sebagai pemenang program SAY ASPIRE edisi ketiga anjuran Selangor Youth Community (SAY) yang diadakan di Sunway Resort Hotel & Spa semalam.

Syarikat tersebut ialah Airaz Technologies Sdn Bhd (produk pakaian sukan muslim), Avantcom International Sdn Bhd (produk penjagaan kulit bayi) dan Inonity Sdn Bhd (perkhidmatan laman web e-dagang-StoreUp).

Ketua pegawai eksekutif SAY berkata pemenang mendapat tajaan penerbangan ke negara yang dipilih untuk tujuan promosi dan rundingan perniagaan, akses kepada pasukan perolehan serta bimbingan khas.

"Kita beri pendedahan dan bimbingan khusus kepada usahawan untuk strategi eksport. Kebanyakan usahawan ini mencapai hasil pendapatan jutaan dan berpotensi ke pasaran antarabangsa tetapi tidak tahu bagaimana.

"Mereka memerlukan bantuan dan mentor yang berpengalaman luas dalam pasaran antarabangsa. Tawaran ke luar negara juga diberikan untuk tujuan pengkomersilan dan berjumpa pembeli,"kata Nurul Azwa Rodzi.

Nurul Azwa berkata tujuh syarikat lain yang terpilih dalam sesi pembentangan SAY ASPIRE tidak dipinggirkan sebaliknya dibantu supaya mendapat peluang yang sama.

"Mereka ini masih dibantu dengan dirujuk kepada agensi berkaitan yang berminat membantu seperti daripada segi kewangan dan meningkatkan kemahiran pengeluaran, cuma tidak mendapat bimbingan khusus,"katanya.

SAY ASPIRE merupakan program pembangunan usahawan untuk belia yang berpotensi mengembangkan produk dan perkhidmatan ke pasaran global melalui kursus bimbingan dan latihan strategi eksport.

Program tersebut merupakan kali ketiga sejak dianjurkan pada 2018 menerusi agensi Selangor Youth Community (SAY) yang diasaskan Raja Muda Selangor.

Ia adalah program keusahawanan selama enam bulan merangkumi latihan kewangan, strategi pemasaran serta perancangan strategik untuk menembusi pasaran luar negara.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619