AGENDA

Isteri kuatkan semangat hadir terima ijazah sarjana arwah suami

25 Jan 2022, 1:23 AM
Isteri kuatkan semangat hadir terima ijazah sarjana arwah suami

KUALA NERUS, 25 JAN: Perasaan gembira bercampur pilu mengiringi langkah Nor Hidayu Abd Wahab, 30, ketika naik ke pentas untuk menerima skrol ijazah sarjana milik arwah suaminya, Mohd Huzir Mohamed pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Ke-12 semalam.

Allahyarham Mohd Huzir yang menamatkan pengajian Ijazah Sarjana dalam bidang Pengurusan Perniagaan pada 2020, meninggal dunia tahun lepas akibat serangan jantung pada usia 35 tahun.

Menurut Nor Hidayu, pada mulanya dia berbelah bahagi untuk hadir ke majlis konvokesyen tersebut kerana risau tidak dapat mengawal perasaan sebak ketika berada di atas pentas.

Bagaimanapun, atas sokongan keluarga, dia menguatkan semangat untuk hadir bagi menghargai hasil kerja keras dan usaha arwah suaminya dalam menamatkan pengajian.

"Walaupun sudah mempunyai pekerjaan selesa di jabatan kerajaan, arwah suami sangat berminat dengan ilmu dan menyambung pelajaran ke peringkat ijazah sarjana tidak sampai sebulan selepas kami berkahwin pada 18 Ogos 2018.

"Beliau mempunyai impian untuk bergelar doktor falsafah sebelum usia 40 tahun, tetapi ternyata Allah lebih sayangkan dia," kata Nor Hidayu yang tidak memiliki cahaya mata.

Sementara itu, seorang guru berbangsa Cina berjaya menamatkan pengajian dan menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang kontemporari Islam.

Ang John Sun, 55, berkata dia amat gembira dan bersyukur kerana dapat menamatkan pelajaran di peringkat tertinggi selepas dua kali tertangguh.

Selain itu, dia turut berasa lega kerana dapat menunaikan amanat mendiang ibunya, Wee Mek Kwa yang mahu dia bergelar doktor falsafah bagi mendidik serta menjadi contoh terbaik kepada golongan muda.

"Percubaan menyiapkan PhD sebelum ini gagal kerana selain kesibukan sebagai seorang guru, saya juga perlu menjaga ibu bapa yang sakit.

"Hari ini saya rasa sungguh lega kerana dapat tunaikan harapan ibu yang memang sungguh-sungguh mahu saya bergelar doktor," katanya yang juga ketua panitia bahasa di Sekolah Menengah Kebangsaan Badak, Kelantan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619