AGENDA

Bekas pengarah bola sepak Korea dilantik jadi ketua jurulatih baharu Harimau Malaya

21 Jan 2022, 8:11 AM
Bekas pengarah bola sepak Korea dilantik jadi ketua jurulatih baharu Harimau Malaya

PETALING JAYA, 21 JAN: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melantik bekas Pengarah Pasukan Kebangsaan Persatuan Bolasepak Korea (KFA) Kim Pan Gon, sebagai ketua jurulatih baharu skuad Harimau Malaya bagi menggantikan Tan Cheng Hoe.

Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata jurulatih berusia 52 tahun itu, akan melapor diri pada pertengahan Februari, dengan kontrak selama dua tahun dan pilihan tambahan dua tahun lagi.

Beliau berkata Pan Gon yang menjadi pengendali pertama dari Korea Selatan dilantik ke jawatan itu sejak 1963, akan membawa empat staf kejurulatihan sendiri, terdiri daripada pembantu jurulatih, jurulatih kecergasan dan penjaga gol serta penganalisis.

“Selepas menerima permohonan dari seluruh dunia, kita mendapati beliau (Pan Gon) merupakan calon terbaik, dan antara kriteria pemilihan adalah pemahamannya mengenai bola sepak Malaysia, pernah melatih pasukan kebangsaan, mempunyai rangkaian antarabangsa, tahu siapa musuh Malaysia, maksudnya kita bermain di ASEAN dan Asia, jangkaan kita.

“Jika FAM berpuas hati dengan prestasinya untuk dua tahun ini, kita akan sambung (kontrak) untuk dua tahun lagi, tentunya nak layak ke Piala Asia,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Pertama Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM di sini, hari ini.

Pan Gon yang pernah beraksi bersama kelab Ulsan Hyundai dan Jeonbuk Hyundai Motors di Korea Selatan pada era 1990-an, memulakan karier kejurulatihan selaku penolong jurulatih Busan IPark FC (2005-2008), ketua jurulatih kebangsaan Hong Kong (2009-2010), penolong jurulatih Gyeongnam FC (2011) dan kembali ke Hong Kong (2012-2017).

Beliau menggantikan Cheng Hoe yang melepaskan jawatannya pada 2 Januari lalu dengan mengambil tanggungjawab susulan prestasi hambar pasukan Harimau Malaya di Singapura, yang gagal mara ke separuh akhir Piala AFF 2020.

Hamidin bagaimanapun, menegaskan bahawa pelantikan jurulatih tidak akan menyelesaikan masalah skuad Harimau Malaya secara keseluruhan.

“Jadi kita mahu mengadakan perbincangan dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi memastikan kelab di Liga Malaysia menghasilkan pemain yang berkualiti,” katanya.

Pada sidang media itu, Hamidin turut mengumumkan peletakan jawatan Datuk Mohd Yusoff Mahadi sebagai pengurus pasukan Harimau Malaya.

Mengenai desakan di media sosial agar Hamidin meletak jawatan berikutan kegagalan skuad Harimau Malaya dalam kempen Piala AFF 2020, Presiden FAM itu berkata beliau masih mempunyai banyak tanggungjawab untuk diselesaikan, selaku pemimpin badan induk bola sepak negara itu.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619