AGENDA

RFID: Plus perlu selesai isu kesesakan di plaza tol

17 Jan 2022, 12:12 PM
RFID: Plus perlu selesai isu kesesakan di plaza tol

DENGKIL, 17 JAN: Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof mengarahkan Plus Malaysia Bhd (Plus), mencari penyelesaian berhubung isu kesesakan yang dilaporkan berlaku di plaza tol berikutan pelaksanaan sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

Menurutnya RFID itu sedang dilaksanakan secara rintis oleh syarikat konsesi PLUS dan ia dibekalkan oleh syarikat Touch 'n Go Sdn Bhd (TnG).

“Saya telah hubungi mereka (Plus dan TnG) selepas mendapat aduan, dan meminta mereka jelaskan kepada orang ramai serta cari penyelesaian…penyelesaian kepada segala isu berbangkit kepada pelaksanaan (RFID) ini,” katanya.

“Apabila ia projek rintis, ada beberapa perkara akan lalui dan perlu selesaikan,” kata Fadillah ketika ditemui media selepas meninjau pembukaan Jambatan Dengkil di FT31 (Jalan Banting-Semenyih) Seksyen 20.80 di sini hari ini.

Media dalam talian dan warga net melaporkan keadaan trafik di beberapa plaza tol seperti di Bandar Seri Putra, Bangi dan Sungai Besi dikatakan sesak, didakwa berpunca daripada penggunaan RFID.

Pada 16 Disember 2021, Kementerian Kerja Raya (KKR) berkata transaksi tol menggunakan teknologi RFID untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan bermula 15 Januari 2022.

Sistem RFID membolehkan pengguna lebuh raya menikmati perjalanan lebih lancar tanpa perlu berhenti di lorong RFID dengan kelajuan 30 km/j serta membolehkan pengguna melaksanakan transaksi tol tanpa sentuh.

RFID juga menawarkan sekuriti tunai digital dan tambah nilai tanpa tunai melalui penggunaan Touch ‘n Go eWallet, tanpa perlu lagi mengunjungi kaunter tambah nilai.

Fadillah berkata pelaksanaan RFID itu adalah projek rintis iaitu dengan bilangan tol terhad dipasang teknologi RFID, manakala lorong kad TnG dan SmartTAG masih lagi dikekalkan.

“Kita belum wajibkan untuk gunakan RFID dan ia terserah kepada orang ramai untuk gunakan,” katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa KKR akan sentiasa memantau perkara tersebut dan mengambil serius aduan, supaya ia tidak menyusahkan pengguna sebaliknya kemudahan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619