AGENDA

Polis nafi wujud sindiket godam telefon bimbit, pindah wang mangsa ke akaun lain

16 Jan 2022, 12:26 AM
Polis nafi wujud sindiket godam telefon bimbit, pindah wang mangsa ke akaun lain

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Polis Diraja Malaysia menafikan wujudnya modus operandi penipuan bentuk baharu yang dinamakan sebagai “Sim Swap”.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata mesej berkenaan kewujudan modus operandi baharu itu dikenal pasti pihaknya menerusi sebaran informasi melalui aplikasi WhatsApp dan Facebook.

Menurutnya, mesej itu adalah palsu dan setakat ini tiada laporan polis diterima berkaitan modus operandi berkenaan.

"Menerusi mesej itu, mangsa akan menerima panggilan dan diminta menekan butang satu sebelum telefon digodam serta diambil alih penjenayah bagi memindahkan semua wang mangsa ke akaun lain.

"Apa yang kerap berlaku adalah penghantaran fail APK (Paket Pakej Android) kepada pengguna telefon pintar yang mengandungi aplikasi berbahaya. Apabila pengguna memuat turun aplikasi itu, ianya akan memberi akses kepada penjenayah untuk mendapatkan data mengenai perbankan internet milik mangsa dan kemudian digunakan untuk memindahkan wang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Kamarudin menasihatkan orang ramai untuk berhenti menyebarkan maklumat itu dan berita tidak benar bagi mengelak kegusaran awam serta boleh menghubungi CCID Scam Response Centre (Pusat Respon Penipuan JSJK) di talian 03-26101559/1599 atau mana-mana balai polis berdekatan bagi menyalurkan maklumat.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619