PBT

Buang sisa sembelih ayam dalam longkang, empat peniaga ditarik lesen

12 Jan 2022, 12:20 AM
Buang sisa sembelih ayam dalam longkang, empat peniaga ditarik lesen

SHAH ALAM, 12 JAN: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengenakan kompaun RM500 terhadap empat peniaga di Pasar Harian Taman Desa Jaya, Gombak kerana menyembelih ayam di premis sehingga mencemarkan persekitaran.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporatnya Ahmad Fauzi Ishak berkata lesen peniaga terbabit turut ditarik kerana melakukan kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Establisymen Pelesenan Makanan (MPS) 2007.

Menurutnya, siasatan mendapati mereka menyembelih ayam pada awal pagi dan membuang sisa bulu, darah dan organ ayam di longkang belakang pasar menyebabkan bau busuk serta kotor di kawasan persekitaran.

"Tindakan itu melanggar syarat lesen yang hanya membenarkan peniaga menjual ayam telah siap diproses dan tidak dibenarkan melakukan sebarang aktiviti penyembelihan di premis.

"MPS mengingatkan semua peniaga agar menjaga kebersihan premis dan menjalankan perniagaan dengan mematuhi syarat terkandung dalam lesen masing-masing," katanya menerusi kenyataan media.

Dalam pada itu, Ahmad Fauzi berkata pihaknya memburu seorang individu yang dikesan menerusi kamera litar tertutup sedang membuang sampah secara haram dan pembakaran terbuka di Taman Raintree, Batu Caves pada 9 Januari lalu.

"MPS akan membuat carian dan pesalah akan dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 di bawah Akta UUK Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap MPS 2007," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619