AGENDA

Bilangan penganggur turun bawah 700,000 pada November 2021

10 Jan 2022, 10:35 AM
Bilangan penganggur turun bawah 700,000 pada November 2021

PUTRAJAYA, 10 JAN: Bilangan penganggur di Malaysia pada November 2021 menunjukkan trend menurun selepas mencatatkan 694,400 orang berbanding 705,000 orang pada Oktober 2021, menurut Statistik Tenaga Buruh Malaysia.

Bilangan penganggur pada November berkurang bawah 700,000 orang buat pertama kalinya sejak April 2020, menurut laporan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan (DOSM) hari ini.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan hari ini berkata kadar pengangguran pada November 2021 adalah 4.3 peratus, tidak berubah berbanding bulan sebelumnya.

Mohd Uzir berkata penduduk bekerja pada November 2021 meningkat 0.4 peratus bulan ke bulan mencatatkan 15.61 juta orang, berbanding 15.55 juta pada Oktober 2021.

Kadar penyertaan tenaga buruh pada November 2021 terus meningkat kepada 68.9 peratus berbanding 68.8 peratus pada Oktober 2021, dengan bilangan tenaga buruh bertambah sebanyak 0.3 peratus kepada 16.30 juta berbanding 16.26 juta orang pada bulan sebelumnya.

"Kedudukan tenaga buruh pada November 2021 kekal stabil dengan peningkatan guna tenaga yang berterusan dan penurunan dalam bilangan penganggur berikutan pengoperasian semula lebih banyak aktiviti ekonomi dan sosial yang merangsang kesan positif terhadap pasaran buruh," katanya.

Mohd Uzir berkata nisbah guna tenaga kepada penduduk yang menunjukkan keupayaan ekonomi untuk mewujudkan guna tenaga meningkat 0.2 mata peratus kepada 66.0 peratus pada November 2021 berbanding 65.8 peratus pada Oktober 2021.

"Mengikut sektor ekonomi, guna tenaga dalam sektor perkhidmatan terus mencatatkan trend peningkatan terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit; perkhidmatan makanan & minuman serta pengangkutan & penyimpanan.

"Trend yang sama turut dilihat dalam sektor pembuatan dan pembinaan manakala guna tenaga dalam sektor pertanian serta perlombongan & pengkuarian terus menurun," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619