PENDIDIKAN

Kuis rancang pengajian secara maya, jimat kos pelajar

7 Jan 2022, 9:14 AM
Kuis rancang pengajian secara maya, jimat kos pelajar

SHAH ALAM, 7 JAN: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) merancang memperkenalkan konsep pembelajaran terbuka dan secara jarak jauh (ODL) yang membolehkan pelajar mengikuti sepenuhnya pengajian tanpa hadir ke kampus.

Rektornya Prof Madya Dato' Dr Mohd Farid Ravi Abdullah berkata langkah menerokai kaedah baharu itu susulan kecanggihan teknologi pada masa kini yang membolehkan sesi pengajian dapat diikuti di mana sahaja seperti terbukti ketika penularan Covid-19.

Jelasnya, menerusi ODL segala proses dijalankan sepenuhnya secara dalam talian bermula dari pendaftaran, menghantar tugasan serta menyiapkan projek akhir untuk menamatkan pengajian.

"Contohnya ada pelajar Kemboja minat belajar di Kuis tetapi ada kekangan seperti tidak mampu membayar kos sara hidup di sini, mereka boleh ikuti pembelajaran dalam talian.

"Kita turut sasar kaedah baharu itu membabitkan pelajar dalam Malaysia dan Selangor, dapat jimatkan kos seperti sewa rumah yang perlu dibayar pelajar jika mereka datang ke sini," katanya ketika dihubungi.

Mohd Farid berkata pihaknya juga merancang untuk mewujudkan tabung amanah untuk membantu mengubah kehidupan asnaf dari dalam dan luar negara dengan belajar di Kuis.

Bagi tujuan itu, beliau berkata Kuis menjemput syarikat berkaitan kerajaan milik Kerajaan Selangor dan pusat untuk membantunya sebagai satu amal jariah.

"Bayangkan amal jariah kita lakukan itu dapat membantu asnaf contohnya dari Burma (Myanmar) belajar di Kuis dan akhirnya memajukan negaranya," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619