ADN

Lebih 2,500 mangsa banjir di Pandamaran mohon bantuan RM1,000

31 Dis 2021, 7:07 AM
Lebih 2,500 mangsa banjir di Pandamaran mohon bantuan RM1,000
Lebih 2,500 mangsa banjir di Pandamaran mohon bantuan RM1,000

SHAH ALAM, 31 DIS: Lebih 2,500 permohonan bantuan RM1,000 diterima daripada mangsa banjir di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran setakat ini.

Ahli Dewan Negerinya Tony Leong Tuck Chee berkata daripada jumlah itu, kira-kira 2,000 borang bantuan Selangor Bangkit sudah dihantar kepada pejabat tanah dan daerah (PTD) untuk proses selanjutnya.

"Kita meminta bantuan ahli majlis, ketua kampung dan Ketua Komuniti India (KKI) untuk tandatangan serta sahkan borang mangsa bagi mempercepatkan urusan.

"PTD berpuas hati dengan borang dihantar kerana mangsa menyertakan dokumen lengkap. Kita akan pastikan mereka mendapat bantuan ini," katanya menambah lebih 800 mangsa lagi dijangka mengemukakan permohonan sama dalam masa terdekat.

Tony Leong turut berharap mangsa banjir bersabar dengan musibah itu selain meminta mereka menghubungi pusat khidmat masyarakat jika memerlukan khidmat pembersihan di kediaman masing-masing.

[caption id="attachment_502728" align="aligncenter" width="531"] Ahli Dewan Negeri Pandamaran Tony Leong Tuck Chee menyemak dan menandatangani borang permohonan mangsa banjir untuk bantuan Selangor Bangkit di Pusat Khidmat Masyarakatnya pada 30 Disember 2021. Foto Facebook Tony Leong Tuck Chee[/caption]

"Bencana ini antara yang terburuk sejak kali terakhir kira-kira 50 tahun lepas. Justeru, saya mengingatkan penduduk agar sentiasa mengambil langkah waspada dan jaga keselamatan," katanya.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah dua minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619