AGENDA

55 jemaah umrah Malaysia positif Covid-19, jalani kuarantin di Mekah

30 Dis 2021, 1:43 PM
55 jemaah umrah Malaysia positif Covid-19, jalani kuarantin di Mekah

SHAH ALAM, 30 DIS:  Kesemua 55 orang jemaah umrah dari Malaysia yang sedang menjalani kuarantin di Mekah, Arab Saudi kerana positif Covid-19 sejak Isnin lalu berada dalam keadaan baik.

Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah berkata jemaah terbabit tidak menunjukkan simpton Covid-19 yang teruk dan ditempatkan di bilik hotel berasingan.

Katanya pihak agensi pelancongan yang membawa jemaah umrah itu menyediakan makanan dan minuman tiga kali sehari selain menghantar ubat-ubatan.

“Ujian PCR seterusnya akan dilakukan dalam masa terdekat. Jemaah yang mendapat keputusan negatif akan terus dibeli tiket penerbangan untuk pulang ke Malaysia,” katanya kepada Selangorkini melalui Facebook hari ini.

Terdahulu Wisma Putra ketika dihubungi menyatakan pihaknya berhubung rapat dengan para jemaah umrah terbabit dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah telah menghantar pasukan bagi memberikan bantuan.

Sementara itu Pengarah Urusan In Saff Travel and Tours Sdn Bhd Mohd Fahmi Mohd Nawi dalam kenyataan berkata pihaknya mempunyai pasukan operasi khas di Arab Saudi yang menyantuni jemaah bermula hari pertama mereka menjalani kuarantin.

“Kami telah memaklumkan kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Arab Saudi berkenaan dengan isu ini pada 28 Disember dengan melampirkan maklumat jemaah seperti pasport, visa dan keputusan ujian PCR.

“Marilah sama-sama kita doakan agar jemaah kami sabar dan tabah serta cepat sembuh,” katanya.

Pada 28 Disember lalu Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan Arab Saudi dimasukkan dalam 18 negara berisiko tinggi jangkitan varian Omicron.

Jemaah umrah yang pulang ke tanah air kini diwajibkan memakai peranti penjejak digital sepanjang tempoh kuarantin.

Sabtu lepas Kementerian Kesihatan mengumumkan sebanyak 62 kes varian Omicron dikesan di negara ini dengan 30 daripadanya membabitkan jemaah umrah.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619