AGENDA

Tiada lagi pengeluaran KWSP selain persaraan

29 Dis 2021, 12:30 AM
Tiada lagi pengeluaran KWSP selain persaraan

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan sentiasa melindungi keperluan serta kesejahteraan persaraan rakyat Malaysia pada masa hadapan dan dengan itu, tidak mengalakkan lagi pengeluaran dana itu bagi tujuan lain.

KWSP dalam satu kenyataan semalam menegaskan komitmennya untuk membantu ahli membina semula kecukupan pendapatan persaraan mereka dan menyokong pemberhentian pengeluaran simpanan KWSP di bawah skim i-Citra.

“KWSP merupakan sebuah dana persaraan yang diberi mandat bagi melindungi simpanan ahli untuk keperluan dan kesejahteraan masa depan persaraan mereka,” tambahnya.

Ditubuhkan sejak 1951, KWSP adalah tertakluk di bawah Akta KWSP 1991, yang menetapkan bahawa Akaun 1 (70 peratus simpanan) ditetapkan bagi persaraan, manakala Akaun 2 (30 peratus simpanan) adalah untuk pengeluaran lain-lain yang dibenarkan bagi menjamin masa depan persaraan yang lebih cerah.

“Bagaimanapun, tiada peruntukan dalam akta yang membenarkan pengeluaran untuk bencana alam,” tegas kumpulan wang persaraan itu.

KWSP berbesar hati dengan pendirian beberapa kesatuan negara seperti Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, Kongress Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, yang telah menyuarakan kebimbangan mereka terhadap masa depan persaraan pekerja-pekerja di Malaysia serta mahukan pemberhentian pengeluaran khas simpanan KWSP

Oleh yang demikian, KWSP, yang merupakan sebahagian daripada Rangkaian Tindak Balas Bencana GLIC/GLC (GDRN) telah menawarkan sokongan melalui sumber di bawah keupayaannya termasuk peruntukan RM10 juta yang diperoleh daripada penjimatan melalui perbelanjaan operasi yang telah diperuntukkan oleh KWSP.

KWSP ingin menegaskan bahawa tiada kesan material ke atas dana atau pulangan ahli kerana bantuan tersebut datang daripada perbelanjaan operasi yang telah diperuntukkan. Sokongan itu akan disalurkan melalui sumbangan berbentuk barangan yang diperlukan oleh mereka yang terjejas dan disalurkan melalui pertubuhan amal yang berkredibiliti.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619