AGENDA

Polis atur gerak aset, lebih 23,000 anggota bantu operasi banjir

19 Dis 2021, 12:00 AM
Polis atur gerak aset, lebih 23,000 anggota bantu operasi banjir

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Polis mengatur gerak aset dan 23,090 anggotanya bagi membantu operasi banjir di kawasan terjejas termasuk 3,454 anggota digerakkan ke Selangor, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

"Kekuatan tersebut adalah persediaan bagi membantu kekuatan sedia ada di semua kontinjen polis selurun negara yang memerlukan bantuan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata polis turut menyediakan 369 unit bot dan enjin, 36 unit jet ski, 437 buah lori dan 1,408 unit kenderaan pacuan empat roda bagi melancarkan operasi membantu dan memindahkan mangsa banjir.

Lembah Klang dilanda banjir menyebabkan lebih 3,600 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara setakat malam tadi serta sejumlah pengguna jalan raya terkandas akibat laluan dan lebuh raya ditutup setelah dinaiki air.

Selain itu, insiden tanah runtuh dilaporkan berlaku di Kampung Sungai Merab Hulu, susulan hujan lebat berterusan lebih 24 jam sejak Jumaat.

Selain Lembah Klang, banjir turut dilaporkan berlaku di Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Kelantan dan Terengganu.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengarahkan semua kementerian berkaitan menggerakkan aset ke kawasan terjejas banjir bagi memastikan rakyat diselamatkan dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara dengan segera.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619