ADN

1,000 dos penggalak DUN Seri Kembangan habis ditempah dalam enam jam

16 Dis 2021, 12:30 AM
1,000 dos penggalak DUN Seri Kembangan habis ditempah dalam enam jam
1,000 dos penggalak DUN Seri Kembangan habis ditempah dalam enam jam

SHAH ALAM, 16 DIS: Kuota 1,000 dos penggalak yang disediakan untuk penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Kembangan menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Booster penuh dalam tempoh enam jam.

Wakil rakyat Ean Yong Hian Wah berkata pihaknya membuat hebahan program itu kelmarin pada jam 9 pagi dan slot janji temu yang disediakan habis didaftar secara dalam talian kira-kira 3 petang.

"Saya tidak menyangka sambutan diterima amat menggalakkan dan masyarakat sedar kepentingan mendapat dos penggalak dalam mengekang penularan Covid-19.

"Oleh demikian, saya mengingatkan mereka yang telah mengisi borang bagi mendapatkan dos penggalak supaya hadir pada tarikh yang ditetapkan dan jangan bazirkan peluang ini," katanya.

Tambah Hian Wah, pihaknya mempertimbang untuk melakukan siri kedua pemberian dos berkenaan menerusi program Selvax Booster.

"Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada bekalan vaksin yang dimiliki Kerajaan Negeri. Jika tidak, mungkin Selvax Booster di DUN Seri Kembangan hanya sekali sahaja," katanya.

Program Selvax Booster Seri Kembangan yang diadakan pada 30 Disember ini diadakan bermula jam 10 pagi hingga 5 petang di Dewan Serbaguna Kompleks 3K Serdang Raya.

Suntikan dos penggalak melalui program Selvax Booster diadakan di lima DUN mulai 17 Disember hingga hujung bulan ini.

Bermula di Balakong pada Jumaat, program seterusnya di Bandar Utama pada 18 dan 19 Disember, Rawang (20 Disember), Taman Templer (26 Disember) dan Seri Kembangan (30 Disember).

Pada 7 Disember lalu, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari mengumumkan sebanyak 157,000 dos penggalak akan diberikan secara percuma kepada rakyat negeri ini melalui program Selvax Booster.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619