AGENDA

Kementerian mohon IPTS beri diskaun yuran ringan beban pelajar

13 Dis 2021, 12:30 PM
Kementerian mohon IPTS beri diskaun yuran ringan beban pelajar

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Bagi meringankan beban pelajar, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedang mempertimbang untuk melanjutkan moratorium susulan kenaikan yuran kursus pengajian di insititusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang telah dilaksana bermula 1 Jun 2020 hingga 31 Disember ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata KPT juga telah memohon kepada IPTS untuk memberikan diskaun kepada pelajar atas dasar keprihatinan dan cakna kebajikan mereka.

“Malah, ada juga sesi libat urus awal dilaksanakan oleh KPT bersama institusi pengajian tinggi berkaitan perkara ini," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, KPT menyasarkan RM2.5 bilion kutipan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi tahun depan.

Noraini berkata pihaknya turut menganggarkan sejumlah RM2 bilion kutipan dalam tempoh pemberian diskaun bayaran balik PTPTN yang bermula 1 November hingga 30 April 2022.

"Setakat November lepas, RM297 juta dikutip manakala bagi tempoh Januari hingga November lepas adalah RM2.1 bilion," katanya.

Rang undang-undang yang memperuntukkan RM11,546,744,200 kepada KPT menerusi Bajet 2022 diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan 22 Ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang serta Bebas.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619