AGENDA

KKM kumpul 663 sampel kajian kesesuaian Sinovac terhadap kanak-kanak

11 Dis 2021, 9:38 AM
KKM kumpul 663 sampel kajian kesesuaian Sinovac terhadap kanak-kanak

SIBU, 11 DIS: Kementerian Kesihatan (KKM) mengumpul 663 sampel di seluruh negara untuk kajian bagi menentukan sama ada vaksin Sinovac sesuai diberikan kepada golongan kanak-kanak berusia tiga hingga 11 tahun dalam pencegahan penularan Covid-19 sebelum kelulusan dikeluarkan.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Aaron Dagang berkata kajian tersebut yang ditaja oleh Sinovac Life Sciences Company Limited, China diadakan di sembilan hospital termasuk Hospital Sibu dan Hospital Miri di Sarawak dan melibatkan 2,000 kanak-kanak.

Menurutnya, dapatan awal kajian tersebut boleh diperoleh antara tempoh enam bulan hingga setahun dan daripada jumlah sampel itu sebanyak 508 adalah dari Sarawak.

“Sasaran kajian itu memerlukan 2,000 sampel. Malaysia perlu membuat kajian sendiri terlebih dahulu walaupun sudah ada dapatan kajian sama dari negara-negara lain. Kita amat berhati-hati sebelum meluluskan penggunaan vaksin ini kepada kanak-kanak berusia tiga hingga 11 tahun di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan kajian yang dijalankan di Pusat Penyelidikan Klinikal (CRC) Hospital Sibu hari ini.

Beliau berkata kajian serupa juga telah dibuat sebelum kelulusan penggunaan bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun sebelum ini dikeluarkan oleh kerajaan.

Aaron berkata setiap kanak-kanak yang terlibat dalam kajian tersebut akan menjalani penilaian tahap kesihatan terlebih dahulu untuk menentukan mereka sihat, dan mereka juga akan menjalani ujian tahap antibodi sebelum dan selepas vaksin.

Pada sidang media sama, Ketua CRC Hospital Sibu Dr Toh Teck Hock berkata sasaran sampel yang perlu diambil Hospital Sibu ialah 410 sampel dan keputusan dapatan awal boleh diperoleh dalam tempoh lebih kurang enam bulan.

Beliau berkata setiap kanak-kanak yang menyertai kajian tersebut juga akan menjalani pemeriksaan menyeluruh dilakukan oleh pakar kanak-kanak.

Katanya, kajian di Hospital Sibu akan dilakukan secara berterusan dan kanak-kanak yang terlibat juga akan dipantau setiap minggu.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Hospital Sibu Dr Rachel Teng Li Chin.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619