SELANGOR

Serangan hama tidak luntur semangat pengurusan pangsapuri usahakan tanaman

6 Dis 2021, 2:48 AM
Serangan hama tidak luntur semangat pengurusan pangsapuri usahakan tanaman
Serangan hama tidak luntur semangat pengurusan pangsapuri usahakan tanaman

SHAH ALAM, 6 DIS: Kerosakan tanaman ekoran serangan hama akhir tahun lalu tidak melunturkan semangat badan pengurusan bersama (JMB) Pangsapuri Seri Bakawali, Bukit Sentosa, Hulu Selangor untuk bangkit mengusahakan kembali laman hijau.

Pengerusinya berkata meskipun terkejut dengan serangan penyakit pada tanaman campuran, cili bara dan terung yang dikerjakan atas tanah seluas hampir seekar, namun 10 peserta laman hijau pangsapuri terbabit tidak berputus asa.

[caption id="attachment_498602" align="alignleft" width="350"] Pengerusi JMB Pangsapuri Sri Bakawali Zawawi Mohd Amin[/caption]

Sebaliknya, Zawawi Mohd Amin, 54, berkata pihaknya berganding bahu mencari jalan penyelesaian supaya empat laman hijau diusahakan sejak 2018 mampu diaktifkan kembali demi manfaat 250 keluarga di pangsapuri terbabit termasuk penduduk berhampiran.

"Ketika itu, kami perlu melalui cabaran yang begitu berat dan tidak menyangka penyakit itu merosakkan seluruh tanaman yang dikerjakan sejak beberapa tahun lalu.

"Kami tidak menyerah kalah dan terus membuat aduan kepada Jabatan Pertanian Negeri Selangor sebelum mereka turun ke kawasan serta memberi cadangan untuk mengatasi masalah terbabit.

"Agensi berkenaan beri bantuan racun dan baja termasuk beberapa perkakas lain untuk menyuburkan semula tanaman hijau. Alhamdulillah, sekarang hasilnya boleh dinikmati," katanya pada Majlis Anugerah Laman Hijau Strata 2021 di Pusat Konvensyen Midlands, Seksyen 7 di sini semalam.

Terdahulu, JMB Pangsapuri berkenaan mengungguli anugerah terbabit sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM8,000 yang disampaikan EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail.

Sementara itu, Zawawi menyifatkan kawasan laman hijau teratur, kemas dan bersih menjadi kunci utama kejayaan merangkul anugerah berkenaan.

"Kami berasa bertuah atas penganugerahan kali pertama memandangkan tidak pernah meraih sebarang anugerah. Kami berterima kasih kepada Kerajaan Negeri termasuk agensi pertanian dan perikanan yang sentiasa memberi sokongan serta bantuan.

"Insya-Allah, kami akan terus berbudi kepada tanah dan manfaatkan ruang yang ada untuk menanam pelbagai jenis lagi tanaman seterusnya memberi rangsangan ekonomi kepada peserta," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619