AGENDA

Covid-19: 114 pelajar Seri Puteri di Maeps dalam keadaan baik

5 Dis 2021, 1:35 PM
Covid-19: 114 pelajar Seri Puteri di Maeps dalam keadaan baik

SERDANG, 5 DIS: Kesemua 114 pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Sekolah Seri Puteri Cyberjaya yang sedang menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) kerana positif Covid-19 berada dalam keadaan baik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad menasihatkan ibu bapa kesemua pelajar terbabit agar tidak bimbang kerana anak-anak mereka dijaga dengan baik di pusat kuarantin itu.

“Ibubapa tidak perlu bimbang kerana makanan di sini cukup. Cuma amalan (ibu bapa) menghantar makanan kepada anak-anak tiap-tiap minggu (seperti ketika anak mereka di asrama) tidak boleh di Maeps kerana takut ada unsur keracunan makanan," katanya kepada Bernama selepas lawatan ke pusat kuarantin itu bagi melihat keadaan pelajar terbabit hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Datuk Dr Aminuddin Hassim dan Pengarah PKRC Maeps Dr Shahabuddin Ibrahim.

Sementara itu, Abdul Latiff mengajak pelajar di pusat kuarantin berkenaan untuk menyertai pertandingan menulis esei anjuran kementeriannya dengan menceritakan pengalaman masing-masing sepanjang berada di pusat kuarantin itu.

Abdul Latiff berkata dua kategori dipertandingkan iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dengan hadiah wang tunai RM500 untuk juara, RM300 untuk naib juara, RM100 untuk tempat ketiga dan RM50 hadiah sagu hati.

Beliau berkata inisiatif terbabit sebagai galakan kepada pelajar untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah ketika menjalani kuarantin.

Pada 1 Disember lepas, sebanyak 65 pelajar SBP Sekolah Seri Puteri Cyberjaya dihantar ke MAEPS manakala 49 orang lagi dihantar pada keesokan harinya kerana positif Covid-19 kategori satu dan dua untuk menjalani kuarantin.

Kategori satu dan dua merujuk kepada pesakit yang tidak mempunyai sebarang gejala atau memiliki gejala ringan.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619