AGENDA

Isu pajak Ladang Tennamaram selesai, peneroka diberi peluang usaha tanah

30 Nov 2021, 8:45 AM
Isu pajak Ladang Tennamaram selesai, peneroka diberi peluang usaha tanah

SHAH ALAM, 30 NOV: Kerajaan Negeri bersetuju membatalkan pajakan tanah seluas 96.4 ekar (39.01 hektar) yang diberikan kepada dua syarikat di Tanjung Pasir Ladang Tennamaram Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata syarikat Baisan Suria Sdn Bhd dan Trilion Project Sdn Bhd akan diberi gantian pajakan di kawasan lain bagi tujuan pertanian serta penternakan.

Beliau menjelaskan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan memajak tanah itu selama 21 tahun dan perlu membuat pemutihan terhadap hampir 400 peneroka yang memohon.

"Rundingan antara PKPS dan kesemua kumpulan peneroka yang berminat mencapai kata sepakat bahawa peneroka bersetuju untuk mendaftar sebagai pemajak melalui perbadanan ini.

"Saya berterima kasih dengan kerjasama diberikan semua pihak dalam usaha mencari jalan tengah untuk menyelesaikan pertikaian ini," katanya pada sidang media di foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi.

Amirudin menambah keputusan dicapai itu sekali gus menyelesaikan isu peneroka haram di tanah PKPS seluas 795.76 ekar (322.03 hektar) di kawasan sama.

"Justeru, jumlah keseluruhan pertikaian tanah antara peneroka berjaya diselesaikan di Ladang Tennamaran berjumlah 892.16 ekar (361.04 hektar)," katanya.

Sementara itu, Dr Mohamad Khairul berkata pihaknya mengenal pasti kawasan gantian pajakan kepada dua syarikat berkenaan berhampiran Serendah, Hulu Selangor.

"Kita tidak mahu berlaku isu implikasi perundangan jika tiada tempat untuk dipindahkan syarikat terbabit bagi melaksanakan aktiviti ekonomi mereka," katanya.

Isu berkaitan pertikaian pajakan tanah dibangkitkan pada awal April lalu apabila peneroka Ladang Tennamaram mengadakan protes berhubung pajakan kepada dua syarikat swasta bagi menjalankan kerja di ladang tersebut.

Mereka mendakwa Kerajaan Negeri tidak mengadakan perbincangan dengan peneroka sebelum memberikan pajakan di kawasan yang dibuka dan diusahakan mereka sejak 40 tahun lalu.

Pada 3 Mei, sebuah jawatankuasa siasatan dalaman ditubuhkan bagi menjalankan siasatan lanjut terhadap isu berkenaan terdiri daripada lima anggota termasuk unit integriti dan bahagian audit dalaman pejabat SUK.

 

 

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619