AGENDA

Wanita bujang atas 30 tahun perlu mahir memimpin, lancar urusan harian

29 Nov 2021, 10:01 AM
Wanita bujang atas 30 tahun perlu mahir memimpin, lancar urusan harian

SHAH ALAM, 29 NOV: Wanita bujang berusia 30 tahun ke atas yang belum mendirikan rumah tangga memerlukan kemahiran kepimpinan supaya urusan harian berjalan lancar.

Pengarah Operasi BaitulJannah Wan Nuradila Huda Wan Zaidon berkata perkara sama ditekankan kepada ibu tunggal agar mampu menjadi pemimpin untuk diri sendiri, tempat kerja dan mendidik anak.

"Kemahiran kepimpinan meliputi ekonomi, politik dan sosial amat penting bagi seseorang dalam membuat keputusan kehidupan seharian dengan tepat sekali gus melancarkan urusan sendiri serta semua pihak.

"Walaupun lumrahnya lelaki adalah pemimpin, namun dalam keadaan tertentu wanita perlu tampil ke hadapan untuk menjadi pemimpin," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) yang ditubuhkan Kerajaan Selangor menjadi medium terbaik untuk menggilap kemahiran kepimpinan wanita di peringkat akar umbi.

"Alangkah bagusnya jika semua wanita boleh melibatkan diri dalam program disediakan Kerajaan Negeri. Penglibatan golongan ini membolehkan mereka membantu sesama mereka.

"Apabila ada ahli politik wanita atau seseorang wanita dalam sesebuah organisasi mempunyai sifat kepimpinan yang tinggi secara automatik kaum wanita tidak akan terabai," katanya.

Jumaat lalu, Dato' Menteri Besar mengumumkan peruntukan RM5.03 juta untuk Wanita Berdaya Selangor (WBS) bagi memperkasa wanita dalam pelbagai bidang di negeri ini.

Dato' Seri Amirudin Shari berkata dana berkenaan turut digunakan untuk Pusat Wanita Berdaya (PWB) di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan AKW bagi melatih kepimpinan akar umbi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619