AGENDA

Tahap kesediaan 250 anggota, aset diuji dalam Eksesais Tembadau Lima Divisyen

25 Nov 2021, 7:16 AM
Tahap kesediaan 250 anggota, aset diuji dalam Eksesais Tembadau Lima Divisyen

KOTA KINABALU, 25 NOV: Keupayaan 250 anggota dan pegawai serta pelbagai aset ketenteraan Markas Lima Divisyen di sini diuji dalam 'Eksesais Tembadau Lima Divisyen’ bagi memastikan pasukan itu sentiasa bersedia mempertahankan negara khususnya Sabah dari segala bentuk ancaman.

Panglima Divisyen Kelima Infantri Mej Jen Datuk Mohd Halim Khalid berkata eksesais bermula hari ini hingga 1 Disember depan dilaksanakan berdasarkan konsep peperangan konvensional dalam bentuk pos pemerintah menggunakan sistem tempur Battle Tek IV.

“Keupayaan anggota dan aset tentera perlu sentiasa diuji bagi memastikan kesiapsiagaan untuk menjamin keselamatan negara.

"Justeru latihan ini dilaksanakan bagi mengukur tahap kesiapsiagaan dan atur gerak formasi di bawah naungan Markas Lima Divisyen serta dilaksanakan di sekitar Kem Lok Kawi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan eksesais itu di sini hari ini.

Tembadau merupakan spesies banteng (lembu hutan) liar yang hanya terdapat di kepulauan Borneo menjadi lambang Markas Lima Divisyen di Kem Lok Kawi terletak lebih 15km di selatan bandaraya Kota Kinabalu.

Pasukan itu dikenali dengan moto dalam bahasa Bajau ‘Nerang Separang’ bermaksud ‘Tangkas Menggempur’.

Mohd Halim berkata pelaksanaan eksesais itu diharap dapat dimanfaat sebaiknya untuk mengetahui sebarang kekurangan dan kelemahan pasukan.

"Apabila eksesais ini selesai kita, akan buat laporan dan menilai sejauh mana keupayaan anggota dan aset yang kita ada. Sekiranya ada aset yang rosak atau tidak berfungsi dengan baik, kita akan kemukakan ke pihak atasan agar ia segera diselesaikan bagi memastikan tahap kesiapsiagaan kita terus diperkasa," katanya.

- BERNAMA

 

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619