AGENSI

Pesta Buku Selangor sedia khidmat pembelian di Shopee, Seldec

24 Nov 2021, 11:30 AM
Pesta Buku Selangor sedia khidmat pembelian di Shopee, Seldec

SHAH ALAM, 24 NOV: Orang ramai berpeluang membuat pembelian bahan bacaan di Pesta Buku Selangor 2021 secara dalam talian menerusi platform Shopee dan Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec).

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor berkata perkhidmatan itu memudahkan masyarakat mendapatkan buku sekiranya tidak berkesempatan hadir ke program yang bermula pada 2 Disember nanti.

"Untuk Shopee, pempamer akan melakukan penghantaran sendiri manakala Seldec pula dihantar oleh penghantar mereka dengan kadar amat murah berbanding perkhidmatan penghantaran lain.

"Manakala, bagi pengunjung yang hadir pula mereka juga diberi kemudahan pembayaran tanpa tunai kerana penganjur menyediakan kod QR," kata Datin Paduka Mastura Muhamad kepada SelangorKini.

Sementara itu, beliau memaklumkan Pesta Buku 2021 kali ini melibatkan 121 pempamer dan julung kali diadakan secara hibrid iaitu fizikal dan dalam talian.

"Orang ramai khususnya pencinta buku perlu menggunakan platform ini untuk sama-sama mendapatkan pelbagai bahan tersebut yang menarik dengan harga berpatutan.

"Pengunjung tidak perlu risau kerana tatacara operasi piawai (SOP) juga ketat kerana kita hanya membenarkan 2,000 pengunjung masuk dalam satu-satu masa," katanya.

Pesta Buku Selangor 2021 berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini mulai 2 hingga 12 Disember depan menawarkan lebih 200,000 buku dari dalam dan luar negara.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619