AGENSI

Pesta Buku Selangor tawar hadiah cabutan bertuah hampir RM50,000

13 Nov 2021, 12:33 AM
Pesta Buku Selangor tawar hadiah cabutan bertuah hampir RM50,000

SHAH ALAM, 13 NOV: Pesta Buku Selangor 2021 akan diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini mulai 2 hingga 12 Disember menawarkan hadiah cabutan bertuah hampir RM50,000 secara keseluruhan.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad berkata daripada jumlah itu pembeli bertuah bakal membawa pulang RM500 secara tunai pada setiap hari.

"Kita tidak mengenakan sebarang syarat pembelian sebaliknya pembeli hanya perlu mengisi borang dan menyatakan jumlah dibelanjakan pada pesta itu kemudian masukkan ke dalam kotak cabutan bertuah.

"Menariknya mereka yang membeli secara dalam talian juga boleh menyertainya manakala keputusan juga akan diumumkan setiap hari," katanya kepada SelangorKini.

Menurut Mastura, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan sepanjang 11 hari pesta itu berlangsung antaranya pertandingan e-sukan, asah kreativiti bermain lego, cara mengguna dron dan pertanian bandar (urban farming).

Selain itu, beliau berkata PPAS turut menganjurkan seminar menulis bagi kanak-kanak dengan panel jemputan penulis dan sasterawan terkemuka serta seminar keibubapaan juga terapi ucapan bagi anak autisme atau lambat bertutur.

"Menariknya semua aktiviti ini turut diadakan secara dalam talian selaras dengan tema iaitu 'Menghubungkan Hati dan Minda'...meskipun pandemik Covid-19 orang ramai masih boleh sertai mengguna pelbagai medium yang ada," katanya.

Pesta Buku Selangor 2021 anjuran PPAS menyediakan 152 gerai jualan termasuk penyertaan pempamer pelbagai syarikat tempatan dan antarabangsa.

Turut tidak dilupa golongan orang kelainan upaya dan warga emas, pesta buku kali ini juga menyediakan skuter dan kerusi roda sebgaai alternatif memudahkan mereka mengelilingi dewan untuk memilih buku kegemaran.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619