AGENDA

Majlis kahwin, cukur jambul cetus kluster baharu Covid-19 di Sabah

8 Nov 2021, 12:38 AM
Majlis kahwin, cukur jambul cetus kluster baharu Covid-19 di Sabah

KOTA KINABALU, 8 NOV: Majlis perkahwinan dan cukur jambul didapati telah mencetuskan satu kluster baharu Covid-19 melibatkan jangkitan dalam komuniti di Sabah, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.

Jurucakap Kerajaan Negeri Sabah berkaitan perkembangan harian Covid-19 berkata kluster baharu berlaku di Kampung Karanaan itu dikesan selepas seorang lelaki tempatan yang merupakan kakitangan awam berumur 29 tahun didapati positif wabak berkenaan.

“Penularan virus dipercayai berpunca daripada perkumpulan orang ramai dalam majlis perkahwinan dan upacara potong jambul yang turut dihadiri saudara mara dari luar daerah. Seramai 52 penduduk kampung telah dijangkiti setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Masidi berkata kluster baharu di Ranau itu adalah satu peringatan penting kepada orang ramai untuk terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan sepanjang masa.

Ini lebih-lebih lagi Sabah akan beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara mulai esok dengan pelbagai sekatan ke atas majlis-majlis sosial dan aktiviti-aktiviti ekonomi akan dilonggarkan, katanya.

“Kesannya ialah risiko jangkitan di tempat-tempat awam dan acara-acara sosial akan semakin tinggi. Rakyat digesa agar tidak lalai mematuhi semua SOP. Kelonggaran ini meletakkan tanggungjawab ‘frontliners’ (barisan hadapan) ke atas bahu rakyat sendiri untuk mengekang penularan Covid-19,” katanya.

Secara keseluruhannya, Masidi berkata, sebanyak 405 kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif 221,749 kes, dengan dua kes kematian dilaporkan masing-masing satu di Beaufort dan Kota Marudu.

Seramai 537 pesakit Covid-19 sembuh dan dibenarkan keluar hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah menjadikan jumlah kumulatif 210,551 pesakit sembuh, manakala 1,789 pesakit masih menerima rawatan, katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619