AGENDA

Sasterawan Negara, Kemala, meninggal dunia

27 Okt 2021, 8:02 AM
Sasterawan Negara, Kemala, meninggal dunia

SHAH ALAM, 27 OKT: Sasterawan Negara, Datuk Dr Ahmad Khamal Abdullah atau lebih dikenali dengan nama penanya, Kemala, meninggal dunia kira-kira jam 12 tengah hari, hari ini.

Kematian Allahyarham disahkan Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad, lapor Berita Harian.

Menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar dunia sastera Malaysia, Mohamad Saleeh berkata Ahmad Khamal berada dalam keadaan uzur kerana beberapa penyakit termasuk komplikasi buah pinggang sebelum menghembuskan nafas akhir.

"Sumbangannya bukan sahaja dalam bentuk karya puisi, kritikan, dan prosa yang bermutu tinggi dan menjadi antara ikon sastera tanah air, malah gerakan sastera yang dilancarkan beliau sebagai aktivis memberikan kesan yang besar dalam perkembangan sastera dan jalinan sastera di peringkat antarabangsa.

"PENA sangat menghargai sumbangannya selama ini dan untuk mengenang jasa serta sumbangan beliau, kerajaan diharap dapat merancang sesuatu yang bermakna dan monumental sifatnya," katanya.

Sementara itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Facebook menyifatkan pemergian Allahyarham satu kehilangan yang besar kepada negara khasnya dalam dunia sastera tanah air.

"Allahyarham memberikan sumbangan yang besar dalam perkembangan sastera tanah air dan nusantara.

"Allahyarham sentiasa memberikan kerjasama yang sangat baik dan bergiat aktif bersama-sama DBP demi bahasa dan persuratan Melayu," katanya.

Ahmad Kamal, 80, pernah bertugas di DBP bermula pada tahun 1968 bermula sebagai penolong penyunting, sebelum menjadi editor majalah-majalah sastera dan berbagai lagi dan sebelum bersara pada 1996 sebagai Ketua Bahagian Kesusasteraan Bandingan.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619