AGENDA

Seleweng dana, Muthu disingkir jawatan presiden Persatuan Olahraga Selangor

25 Okt 2021, 1:10 AM
Seleweng dana, Muthu disingkir jawatan presiden Persatuan Olahraga Selangor

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Persatuan Olahraga Selangor (POS) semalam menyingkirkan Datuk SM Muthu daripada jawatan presiden persatuan itu dan menarik balik keahlian seumur hidupnya berkaitan dakwaan berlaku penyelewengan lebih RM100,000 daripada akaun simpanan tetap POS.

Keputusan terhadap Muthu, yang juga Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan dua lagi pegawai POS dibuat secara sebulat suara dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) persatuan itu yang dihadiri 39 ahli.

Pengerusi bebas EGM yang dilantik Mohamad Zufarsyah Mohamad Idrakisyah mendakwa penyelewengan itu melibatkan dana berjumlah RM110,000 daripada akaun simpanan tetap POS dan juga dana pembangunan yang diterima daripada Majlis Sukan Negeri Selangor.

"Tiga usul diketengahkan iaitu menamatkan jawatan presiden Datuk SM Muthu dan menarik balik keahlian beliau seumur hidup. Usul sama juga dibuat terhadap bekas bendahari (Mohd Fauzi Manivannan Abdullah) dan bekas setiausaha (Abdul Rahim Mohd Noor) POS," katanya ketika ditemui Bernama selepas EGM POS di Wisma OCM semalam.

Beliau berkata beberapa dokumen juga dikemukakan sebagai bukti berlakunya penyelewengan dana itu dalam mesyuarat selama tiga jam yang berlangsung dalam keadaan tegang.

Sementara itu, Naib Presiden persatuan itu Warughese Abraham berkata POS akan membuat laporan polis mengenai isu itu dan juga membawanya ke perhatian Pesuruhjaya Sukan.

Sementara itu Muthu tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan mengenai isu berkenaan.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619