AGENDA

HARAPAN gesa SPRM ganda usaha siasat Kertas Pandora

23 Okt 2021, 10:19 AM
HARAPAN gesa SPRM ganda usaha siasat Kertas Pandora

SHAH ALAM, 23 OKT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menggandakan usaha menyiasat Kertas Pandora membabitkan individu berpengaruh yang didakwa memiliki akaun luar pesisir.

Tindakan itu untuk menentukan sama ada duit terbabit berasal daripada sumber sah atau kegiatan yang melanggar undang-undang, tegas majlis presiden Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Adalah mendukacitakan jika SPRM tiada keupayaan memperoleh maklumat khusus dan perlu bertanyakan ketua pembangkang sungguhpun beliau tidak memiliki sumber dan kepakaran siasatan khas," katanya.

Kenyataan itu ditandatangani Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden UPKO Madius Tangau.

Pada 4 Oktober, Anwar mengemukakan usul supaya Dewan Rakyat membahaskan pendedahan Kertas Pandora berhubung transaksi kewangan yang menyalahi undang-undang.

Usul itu ditolak Speaker Datuk Azhar Azizan Harun dengan alasan ia tidak perlu disegerakan sehingga memaksa persidangan tersebut mengetepikan urusan yang ditetapkan aturan mesyuarat.

Dalam kenyataan sama, majlis presiden terkejut dengan keputusan kerajaan menghidupkan semula projek Saluran Gas Paip Trans-Sabah (TSGP) dan Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP).

Tegas mereka, sebanyak 88 peratus atau RM8.3 bilion daripada nilai pembinaan turut dibayar meski kemajuan kerja yang belum diaudit hanya 13 peratus setakat Mei 2018.

"Nilai pembinaan keseluruhan TSGP dan MPP ialah RM9.4 bilion tanpa mengambil kira kos tambahan pelbagai pengurusan pakar dan pengambilan tanah sebanyak RM1.7 bilion.

"Oleh itu, SPRM wajib menyiasat sepenuhnya mengapa projek yang gagal ini dimulakan semula pada 10 Februari 2021 oleh Perikatan Nasional bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin," tegas HARAPAN.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619