AGENDA

Ahli sukarelawan Selangor jalani latihan, tingkat kemahiran urus bencana

23 Okt 2021, 2:07 AM
Ahli sukarelawan Selangor jalani latihan, tingkat kemahiran urus bencana

SHAH ALAM, 23 OKT: Semua ahli Sukarelawan Selangor (SERVE) di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) akan menjalani latihan pengurusan bencana dalam masa terdekat, kata EXCO jaringan kemasyarakatan dan kesukarelawan.

Danish Hairudin berkata latihan itu penting bagi melengkapkan sukarelawan dengan ilmu dan kemahiran ketika menjalankan misi bantuan khususnya untuk anak muda yang baharu menceburi aktiviti sedemikian.

"Penubuhan SERVE masih baharu, jadi kita perlu beri pendedahan dan bimbingan lengkap kepada mereka sebelum melangkah lebih jauh pada tahun-tahun mendatang.

"Jadi, hasil perbincangan bersama EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman dan Penggerak Belia Selangor (PeBS), kita setuju untuk adakan latihan kepada mereka sebelum akhir Disember nanti," katanya.

Beliau berkata pada program bual bicara "Kenali SERVE: Sukarelawan Selangor" secara langsung menerusi Facebook Media Selangor malam tadi.

Dalam perkembangan lain, Danish berkata ahli SERVE dilindungi insurans bagi menjamin keselamatan ketika bertugas terutama misi bantuan melibatkan bencana besar di luar negeri.

"Misalnya semasa kami ke Yan, Kedah bagi membantu mangsa bencana fenomena kepala air baru-baru ini, semua 50 sukarelawan SERVE terlibat mendapat perlindungan insurans.

"Kalau NGO (pertubuhan bukan kerajaan) lain mungkin ini (insurans) dianggap remeh, tetapi ia sebenarnya penting kepada sukarelawan sekiranya berlaku perkara tidak diingini," katanya.

SERVE adalah kesinambungan Penggerak Belia Selangor (PeBS) dan terbuka kepada individu berusia 36 tahun ke atas berbanding PeBS yang mengehadkan kelayakan umur individu berusia 18 hingga 35 tahun.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619