ad
AGENDA

KKM lapor polis antivaksin sebar maklumat palsu ancam kesihatan awam

15 Okt 2021, 6:53 AM
KKM lapor polis antivaksin sebar maklumat palsu ancam kesihatan awam

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Kementerian Kesihatan telah membuat beberapa laporan polis terhadap kumpulan antivaksin yang menyebarkan maklumat palsu sehingga mengancam kesihatan awam.

Menterinya Khairy Jamaluddin menerusi ciapan di Twitter rasmi beliau berharap, tindakan susulan termasuk siasatan dan pendakwaan dapat disegerakan.

“Kumpulan ini (antivaksin) terus menyebarkan berita palsu, mengancam kesihatan awam dan menjengkelkan,” kata Khairy sambil menyertakan pautan Twitter seorang pengamal perubatan Dr Sakinah Sulong.

Dr Sakinah dalam Twitter tersebut menulis : “Am I the only one yang rasa antivaccine group kat Malaysia ni kebal-sekebalnya?”.

Beliau turut melampirkan tangkap layar aplikasi Telegram yang didakwa sebagai kumpulan antivaksin.

Dalam satu lagi ciapan, Khairy memaklumkan sehingga semalam sejumlah 5,410 dos penggalak telah diberikan, terutamanya kepada petugas perubatan barisan hadapan.

“Warga emas akan mula menerima dos penggalak mereka di klinik GP (pengamal perubatan) tidak lama lagi,” katanya.

Pada Rabu Khairy berkata kementeriannya akan mula memberikan dos penggalak vaksin Covid-19 kepada warga emas berusia 60 tahun dan ke atas barisan hadapan yang telah melengkapkan vaksinasi mereka sekurang-kurangnya enam bulan lepas.

Individu yang layak akan dimaklumkan menerusi aplikasi MySejahtera, sementara kepada mereka yang tidak mempunyai MySejahtera, pengumuman akan dibuat menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) atau panggilan telefon daripada pusat vaksinasi.

Pemberian dos penggalak akan dijalankan secara sukarela dan ia percuma di bawah Program Imuniasasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi memastikan tempoh perlindungan yang optimum kepada penerimanya di Malaysia.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.