AGENDA

Kerja naik taraf loji rawatan siap, air disalur berperingkat mulai 5 petang

14 Okt 2021, 2:49 AM
Kerja naik taraf loji rawatan siap, air disalur berperingkat mulai 5 petang

KUALA LUMPUR, 14 OKT:  Kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) telah siap dilaksanakan 5 pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri dalam kenyataan memaklumkan, setakat 6 pagi sistem rawatan air di LRA SSP1 telah distabilkan dan bekalan air telah mula disalurkan ke sistem agihan bekalan air.

“Bekalan kepada para pengguna akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat pada jam 5 petang ini,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas, berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

Penduduk di 998 kawasan sekitar Lembah Klang mula mengalami gangguan bekalan air bermula semalam berikutan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan berkenaan, dengan daerah terlibat antaranya Wilayah Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Elina berkata Air Selangor terus menggerakkan bantuan air alternatif melalui lori-lori tangki ke premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) dan pusat pemberian vaksin (PPV) serta untuk upacara pengebumian.

Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau mengajukan sebarang pertanyaan dan aduan di Pusat Bantuan di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619