AGENDA

Wakil rakyat boleh berbaju batik ke Parlimen setiap Khamis

11 Okt 2021, 9:36 AM
Wakil rakyat boleh berbaju batik ke Parlimen setiap Khamis

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Jawatankuasa Dewan telah bersetuju cadangan pemakaian baju batik Malaysia berlengan panjang bagi Ahli-Ahli Parlimen ketika menghadiri persidangan Dewan Rakyat setiap hari Khamis.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika membacakan syor itu di Persidangan Dewan Rakyat berkata cadangan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri itu bertujuan mendukung warisan negara.

“Pemakaian baju batik ini bukanlah mandatori dan adalah secara sukarela,” katanya ketika membacakan Penyata Jawatankuasa Dewan di sini hari ini.

Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Sabtubong turut membacakan dua syor lagi iaitu berkaitan komposisi ahli untuk semua Jawatankuasa Pilihan Khas ditambah dari tujuh ahli kepada sembilan ahli iaitu lima Ahli Parlimen kerajaan dan empat Ahli Parlimen Pembangkang.

Selain itu juga cadangan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas yang baharu iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa (Special Select Committee on International Affairs).

“Pertambahan itu katanya selaras dengan Peraturan 82 (1) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan penambahan kepada sembilan Jawatankuasa Pilihan Khas yang telah ditubuhkan,” katanya.

Wan Junaidi berkata Jawatankuasa Dewan juga bersetuju agar terma rujukan bagi Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan Khas ini hendaklah mengandungi perkara-perkara berikut, termasuk tujuan penubuhan; keanggotaan sembilan orang ahli termasuk pengerusi, dan tempoh pelantikan selama dua tahun atau dua penggal; kuasa memanggil dan penyata Dewan.

Syor-syor itu kemudian disokong oleh Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah yang juga Ahli Parlimen Paya Besar dan disetujukan majlis mesyuarat.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619