AGENDA

Seorang lelaki hilang, bot ditemukan tengah laut tanpa penumpang

11 Okt 2021, 5:01 AM
Seorang lelaki hilang, bot ditemukan tengah laut tanpa penumpang

SHAH ALAM, 11 OKT: Seorang lelaki tempatan dikhuatiri telah jatuh ke dalam laut semasa dalam perjalanan balik ke Pulau Carey selepas menghantar pelanggan untuk memancing di Pulau Ketam semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor, Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata bot mangsa telah ditemukan berpusing-pusing di tengah laut tanpa penumpang.

Beliau berkata Hasmudin Anak Omar, 24, dikhuatiri terjatuh ke dalam laut kira-kira 0.1 batu nautika selatan Selat Mahang, Pulau Che Mat Zin.

"Mangsa dikatakan kali terakhir dilihat memakai baju berwarna putih dengan berseluar pendek warna kuning sebelum dilaporkan hilang di laut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rosli berkata sektor pencarian operasi mencari dan menyelamat hari ini merangkumi keluasan 114.58 batu nautika persegi dengan tertumpu di kawasan perairan Pintu Gedung sehingga Perairan Pulau Carey.

Beliau berkata operasi tersebut dikoordinasikan Sub Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru yang disambung pada jam 7 pagi tadi dengan mengatur gerak bot Maritim Pengawal 25 dan aset udara Maritim dan bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Polis Marin,Tentera Laut Diraja Malaysia serta Angkatan Pertahanan Malaysia.

Katanya Pangkalan Hadapan Carilamat juga telah ditubuhkan di jeti Pasukan Polis Marin, Selangor dan orang awam diingatkan agar sentiasa memastikan aspek keselamatan diutamakan sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619