AGENDA

Rentas negeri: Polis periksa rawak lokasi tumpuan, pantau SOP

10 Okt 2021, 10:40 AM
Rentas negeri: Polis periksa rawak lokasi tumpuan, pantau SOP

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Polis akan menjalankan pemeriksaan secara rawak di kawasan tumpuan dan menamatkan sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri susulan pengumuman kebenaran rentas negeri yang bermula tengah malam ini.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata bagaimanapun, SJR akan tetap diteruskan di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, Op Benteng dan cegah jenayah serta keselamatan.

"Meskipun tiada SJR, polis akan tetap mengerakkan pasukan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) bagi memastikan masyarakat mengamalkan SOP," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tindakan itu diambil berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Acryl Sani turut menasihati orang ramai untuk tidak mengambil lewa terhadap kelonggaran pergerakan yang telah diberikan dan sentiasa mengamalkan tahap pematuhan SOP yang tinggi bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19 kembali meningkat.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada sidang media khas hari ini, memaklumkan kerajaan bersetuju membenarkan individu yang sudah lengkap vaksinasi melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis bermula esok.

Beliau berkata keputusan itu dibuat berikutan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus dan dengan keputusan tersebut, Keluarga Malaysia kini bebas melakukan pergerakan seperti balik kampung untuk berjumpa ibu bapa, melancong dan sebagainya.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619