AGENDA

PM: Tidak wajib buat saringan untuk rentas negeri, tapi digalakkan

10 Okt 2021, 9:35 AM
PM: Tidak wajib buat saringan untuk rentas negeri, tapi digalakkan

PUTRAJAYA, 10 OKT: Ujian pengesanan kendiri Covid-19 tidak diwajibkan untuk kebenaran merentas negeri yang mula berkuat kuasa esok namun digalakkan demi keselamatan ahli keluarga, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata melakukan ujian saringan kendiri itu menjadi sebahagian daripada tangggungjawab seseorang individu untuk melindungi ahli keluarga serta golongan berisiko.

“Terutama yang balik kampung, saringan sama ada PCR ataupun RTK, saya tak kata wajib tapi digalakkan untuk memastikan keluarga di kampung selamat, kita pantau dulu diri kita.

“Walaupun tak wajib ia satu tindakan melindungi keluarga, apa salahnya kita buat untuk melindungi ahli keluarga di kampung,” katanya pada sidang media khas yang disiarkan secara langsung menerusi stesen-stesen televisyen tempatan dan platform media sosial petang ini.

Terdahulu, beliau mengumumkan kerajaan bersetuju membenarkan individu yang sudah lengkap vaksinasi Covid-19 melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis bermula esok.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan belum menetapkan tempoh spesifik bagi menentukan tarikh peralihan fasa pandemik kepada endemik bagi Covid-19.

“KKM (Kementerian Kesihatan) akan bersama-sama untuk menyediakan SOP seterusnya untuk kita beralih ke fasa endemik, mungkin SOP semakin dikurangkan, bagaimanapun ia tetap penting untuk melatih masyarakat hidup bersama Covid-19," katanya.

Bagi memastikan proses peralihan negara ke fasa endemik berjalan lancar dan selamat, beliau berkata rakyat kini memikul tanggungjawab yang besar untuk mejayakan usaha tersebut.

Katanya, antara langkah harus dilaksanakan adalah mengukuhkan tindakan kesihatan awam kendiri termasuk melaksanakan ujian, lapor, kuarantin atau pengasingan kendiri, memaklumkan dan dapatkan rawatan segera.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619