AGENDA

Rentas negeri: 45,000 kenderaan dijangka lalui LPT2 setiap hari

10 Okt 2021, 4:22 AM
Rentas negeri: 45,000 kenderaan dijangka lalui LPT2 setiap hari

KUALA TERENGGANU, 10 SEPT: Syarikat konsesi lebuh raya, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) Sdn Bhd menjangkakan pertambahan trafik antara 38,000 sehingga 45,000 kenderaan sehari apabila perjalanan rentas negeri dibenarkan sedikit masa lagi.

Pengurus Perniagaan Wilayah LPT 2 Suhaimi Saat berkata selepas sekian lama berdepan sekatan akibat penularan pandemik Covid-19, orang ramai pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk pulang ke kampung halaman atau melancong bagi melepaskan tekanan.

Sehubungan itu pihaknya telah melakukan persiapan rapi merangkumi aspek keselamatan dan kemudahan bagi memastikan pengguna mendapat pengalaman perjalanan yang selesa sekali gus tiba dengan selamat ke destinasi masing-masing.

"Pasukan penyelenggaraan dan kakitangan perkhidmatan pelanggan yang ditempatkan di laluan tertentu di sepanjang 184 kilometer lebuh raya sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan.

"Malah semua kemudahan awam di kawasan lima Hentian Rehat dan Rawat (R&R) dan hentian sebelah LPT 2 sentiasa dibersihkan mengikut jadual yang ketat untuk menjamin keselesaan pengguna dan ia adalah sebahagian komitmen jangka panjang LPT 2," katanya dalam kenyataan hari ini.

Suhaimi berkata bagi meningkatkan aspek keselamatan pengguna, pihaknya juga menjalin kerjasama dengan pasukan trafik polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan bagi penguatkuasaan di sepanjang lebuh raya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan semua pengguna supaya tidak mengabaikan tatacara operasi piawai (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19 ketika berada di kawasan R&R dan hentian sebelah.

"Sila patuh kepada arahan supaya melakukan imbasan MySejahtera, memakai topeng muka dan penjarakan fizikal apabila berada di R&R dan hentian sebelah.

"Dengan pertambahan kenderaan, pastinya keadaan akan menjadi sesak dan amat penting untuk orang ramai mematuhi SOP demi kebaikan bersama," katanya.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619