AGENDA

Pandelela Rinong dapat gelaran Datuk

9 Okt 2021, 5:16 AM
Pandelela Rinong dapat gelaran Datuk

KUCHING, 9 OKT: Bekas Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abang Ahmad Urai Datu Abang Mohideen mendahului senarai 1,326 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Sarawak sempena ulang tahun kelahiran ke-85 Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, hari ini.

Abang Ahmad dianugerahkan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak Datuk Amar Bintang Kenyalang (DA) yang membawa gelaran “Datuk Amar”.

Turut menerima darjah kebesaran sama ialah bekas anggota Kabinet Pertama Sarawak Allahyarham Datuk Seri Pengiran Hipni Pengiran Annu.

Sementara itu enam penerima dianugerahkan darjah Panglima Negara Bintang Sarawak (PNBS) yang membawa gelaran “Datuk Seri” iaitu Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri; Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin.

Tiga lagi penerima PNBS ialah Peguam Besar Sarawak Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid, Setiausaha Kewangan Negeri Datuk Dr Wan Lizozman Wan Omar dan Pengasas KKB Engineering Berhad Datuk Kho Kak Beng.

Dua penerima dianugerahkan darjah Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (PGBK) yang membawa gelaran “Datuk” iaitu Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Abdullah Saidol dan Pengarah Urusan syarikat kumpulan Shin Yang James Ling Lu Kiong.

Seramai 13 penerima Darjah Jasa Bakti Sarawak (DJBS) yang membawa gelaran ‘Datu’ termasuk Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Kameri Affendi dan Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Edwin Abit.

Ratu terjun negara Pandelela Rinong Pamg adalah antara 17 individu dianugerahkan darjah Panglima Setia Bintang Sarawak (PSBS) yang membawa gelaran “Datuk” selain Senator Zaiedi Suhaili, Senator Dr Nuing Jeluing serta Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Mancha Ata.

Selain itu, pingat Johan Bintang Sarawak dianugerahkan kepada tujuh penerima, Johan Bintang Kenyalang (16), Johan Perkhidmatan Cemerlang (4), Pingat Perkhidmatan Cemerlang (Emas) (18), Pegawai Bintang Sarawak (44), Pegawai Bintang Kenyalang (101) dan Pingat Perkhidmatan Bakti (Perak) (177).

Pingat Ahli Bintang Sarawak pula dianugerahkan kepada 253 penerima, Ahli Bintang Kenyalang (155), Pingat Perkhidmatan Terpuji (Gangsa) (260) dan 251 menerima Bentara Bintang Sarawak.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619