SELANGOR

Lelaki warga Indonesia hilang selepas bot terbalik di Kuala Selangor

8 Okt 2021, 6:16 AM
Lelaki warga Indonesia hilang selepas bot terbalik di Kuala Selangor

SHAH ALAM, 8 OKT: Seorang lelaki warganegara Indonesia dikhuatiri hilang di laut selepas bot yang dinaikinya terbalik akibat dilambung ombak kira-kira 13.6 batu nautika barat daya Kuala Selangor, pada Rabu lepas (6 Okt).

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata pihaknya yang menerima laporan kejadian itu semalam, menggerakkan operasi mencari dan menyelamat mangsa dikenali sebagai Sutri, 21.

"Mangsa bersama tekong dan seorang lagi kru bot jatuh ke laut apabila bot yang dinaiki dilambung ombak sebelum terbalik di lokasi kejadian, tekong dan kru bot tersebut berjaya menyelamatkan diri manakala mangsa masih gagal ditemukan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rosli berkata operasi bagi hari kedua yang dikoordinasikan Sub Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru disambung pada 7 pagi tadi membabitkan bot Maritim Pengawal 26 dan aset udara Maritim dengan dibantu Pasukan Polis Marin (PPM) serta Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

"Operasi hari ini meliputi keluasan 143.4 batu nautika persegi dengan tumpuan di kawasan perairan Kuala Selangor. Cuaca di lokasi cerah dengan kelajuan angin sekitar 10 hingga 20 kilometer sejam," katanya.

Beliau berkata pihaknya telah menubuhkan Pengkalan Hadapan Carilamat di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Selangor.

Pihak Maritim Malaysia juga meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 dan MERS 999 yang beroperasi 24 jam.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619