AGENDA

Kanak-kanak enam tahun lemas di Pantai Seaview, Port Dickson

7 Okt 2021, 2:21 AM
Kanak-kanak enam tahun lemas di Pantai Seaview, Port Dickson

PORT DICKSON, 7 OKT: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun disahkan meninggal dunia akibat lemas di Pantai Seaview, Tanjung Gemok di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata keadaan angin dan ombak yang kuat menyebabkan Muhammad Nurmubien Muhammad Miqdam gagal diselamatkan sebelum mangsa ditemukan kira-kira 100 meter dari tempat kejadian pada 6.30 petang oleh anggota penyelamat.

Beliau berkata siasatan awal mendapati keluarga mangsa dari Sendayan datang ke Port Dickson untuk bercuti rehat dan berkelah di pantai.

“Pada 4.15 petang, semasa ayah mangsa sedang duduk di bawah pokok, beliau ternampak dua anaknya berumur 10 dan 8 tahun yang sedang bermain di tepi pantai telah ditarik ombak.

“Kemudian ayah mangsa terus bergegas ke pantai untuk menyelamatkan dua anaknya tanpa menyedari mangsa yang berumur 6 tahun telah mengekorinya dari belakang turut ditarik ombak,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Aidi Sham berkata kanak-kanak itu kemudian diberikan rawatan kecemasan sebelum dibawa ke Hospital Port Dickson.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada 7.30 petang.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619