AGENDA

55 hotel tutup operasi akibat pandemik Covid-19

4 Okt 2021, 8:05 AM
55 hotel tutup operasi akibat pandemik Covid-19

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Sebanyak 55 hotel ditutup sepenuhnya manakala 86 hotel ditutup sementara dari Mac 2020 hingga kini akibat pandemik COVID-19, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata hotel-hotel itu adalah hotel yang berdaftar dengan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan diiktiraf oleh MOTAC.

Beliau berkata berikutan penutupan sepenuhnya dan sementara hotel-hotel terlibat, dianggarkan lebih 8,000 pekerja sektor perhotelan dibuang kerja.

"Bagi menghidupkan semula aktiviti pelancongan dan kelangsungan pekerjaan sektor ini, pelbagai bantuan telah disediakan secara langsung menerusi pakej rangsangan ekonomi antaranya Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) serta Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) contohnya bantuan kewangan secara one-off (sekali beri) kepada penggiat industri.

"Bantuan-bantuan lain seperti pelanjutan diskaun bil elektrik kepada penggiat industri, pengusaha hotel, pengendali taman tema dan sebagainya sehingga 31 Dis ini, pengecualian cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan serta penangguhan pembayaran ansuran cukai dan skim subsidi upah," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Jefridin Atan berhubung jumlah hotel di negara ini yang terpaksa menutup operasi atau gulung tikar akibat pandemik COVID-19 dan bantuan yang diberikan MOTAC kepada pengusaha-pengusaha terlibat.

Menjawab soalan asal Jefridin mengenai inisiatif yang diambil MOTAC dalam memulihkan semula sektor pelancongan terutamanya melibatkan penyelenggaraan kawasan tumpuan utama, Santhara berkata sebanyak RM30 juta diperuntukkan bagi tujuan penyelenggaraan kemudahan atau infrastruktur pelancongan dengan 89 projek sedang dilaksanakan di bawah peruntukan itu di seluruh negara sehingga kini.

Selain itu, beliau berkata melalui Belanjawan 2021, MOTAC juga diperuntukkan RM20 juta bagi menambah baik infrastruktur dan mempergiat promosi Kampung-kampung Budaya di empat negeri iaitu Terengganu, Melaka, Sarawak dan Negeri Sembilan.

"Secara umumnya, MOTAC sentiasa bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan pelancongan sentiasa ditambah baik. Ini bagi membolehkannya menjadi tarikan kepada pelancong sekali gus menyumbang kepada peningkatan ekonomi penduduk setempat.

"Projek penyelenggaraan dan naik taraf juga telah dilaksanakan di kawasan tumpuan utama dan popular bagi memastikan ketersediaan infrastruktur pelancongan di tahap yang optimum serta selamat dikunjung menjelang pembukaan sektor pelancongan kelak," katanya.

-- BERNAMA

 

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619