AGENSI

Empat trem lagi tampung tambahan pengunjung Selangor Fruit Valley

4 Okt 2021, 2:49 AM
Empat trem lagi tampung tambahan pengunjung Selangor Fruit Valley

SHAH ALAM, 4 OKT: Sebanyak empat buah trem lagi akan disediakan di Selangor Fruit Valley (SFV), Bestari Jaya dalam masa terdekat bagi menampung tambahan pengunjung.

Ini menjadikan pusat agropelancongan itu memiliki 10 trem untuk membawa pengunjung meneroka setiap hentian di kawasan terbabit dengan jarak lapan kilometer selama sejam.

Pengurus pemasarannya Nor Rashidah Mohamed Raihan berkata inisiatif itu bagi menarik minat orang ramai susulan pembukaan semula SFV kepada individu lengkap dos vaksin.

"Saya akui trem menjadi tarikan utama di SFV. Apabila ramai datang ke sini, mereka memerlukan pengangkutan untuk mengelilingi ladang kerana kawasan tersebut sangat luas.

"Sebab itu dalam pakej mini, kita tawarkan perkhidmatan menaiki trem. Mereka berpeluang melawat taman rusa, arnab dan rumah kampung sekali gus memberi kepuasan kepada pengunjung," katanya.

Nor Rashidah turut bercadang menambah lebih ramai kakitangan separuh masa berikutan kebanyakan pengunjung hadir pada hujung minggu tanpa janji temu.

"Mereka yang sedang mencari kerja mungkin boleh cuba sebab hujung minggu waktu sangat kritikal memandangkan ramai ibu bapa cuti mengambil peluang membawa anak-anak mereka ke SFV," katanya lagi.

SFV dibuka semula kelmarin selepas ditutup sementara selama seminggu mulai 25 September bagi penyelenggaraan dan kemas kini tatacara operasi piawai (SOP).

Harga tiket yang ditawarkan adalah RM15 bagi dewasa, RM10 untuk kanak-kanak dan warga emas manakala warga asing tiket dewasa berharga RM30 dan kanak-kanak RM25.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi talian 016-6880792 selain e-mel support@pkps.gov.my atau selangorfruitsvalley@gmail.com.

SFV melibatkan kawasan seluas hampir 1,000 hektar mempunyai 20 jenis buah-buahan antaranya belimbing, durian, mangga, jambu batu, nangka, pulasan dan anggur.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619