AGENDA

KPDNHEP: 111 kes jual minyak masak melebihi harga kawalan

2 Okt 2021, 7:33 AM
KPDNHEP: 111 kes jual minyak masak melebihi harga kawalan

KUALA BERANG, 2 OKT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan 111 kes menjual minyak masak dalam botol melebihi harga kawalan membabitkan nilai sitaan RM13,961.50 dan kompaun RM26,850.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata kesalahan itu dikesan hasil 19,266 pemeriksaan yang dilakukan KPDNHEP di seluruh negara sejak penguatkuasaan Harga Runcit Maksimum minyak masak sawit tulen dalam botol sejak 1 Ogos lepas.

"Daripada jumlah itu, kes tertinggi direkodkan di Johor iaitu 44 kes diikuti Perak (23 kes), Pulau Pinang (sembilan), masing-masing enam kes di Kelantan, Terengganu, Sarawak dan Melaka, Pahang (empat), Negeri Sembilan (tiga), Sabah (dua) dan masing-masing satu di Kedah dan Selangor.

"Selain itu, pemeriksaan mendapati 14,456 peniaga yang lain mengikut harga kawalan ditetapkan dan 4,699 peniaga lagi menjual di bawah harga kawalan ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau projek ternakan kelulut usahawan Agropreneur Muda Jabatan Pertanian Terengganu di Kampung Machang di sini hari ini.

Ketika ini, harga maksimum runcit ditetapkan bagi minyak masak sawit tulen dalam botol ialah RM29.70 untuk lima kilogram (kg), RM18.70 untuk 3 kg, RM12.70 untuk 2 kg dan RM6.70 untuk 1 kg manakala minyak paket bersubsidi 1 kg ialah RM2.50.

Ditanya mengenai dakwaan kekurangan stok bekalan minyak masak bersubsidi dalam paket di pasaran ketika ini, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata KPDNHEP tidak menerima sebarang laporan rasmi mengenai perkara tersebut.

"Mungkin ada salah faham di mana-mana, kita akan siasat dan cari punca ketiadaan stok seperti didakwa media dan laman sosial...sebenarnya minyak paket bersubsidi adalah untuk kegunaan isi rumah, namun ada juga peniaga yang membelinya dan ini antara punca stok tiada.

"Jadi, langkah sementara ialah peniaga boleh mengehadkan pembelian minyak paket ini mungkin seorang boleh beli dua atau tiga paket sahaja sementara kementerian menyiasat puncanya," katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619